Khamis, 24 March 2022 | 11:55am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kit ujian COVID-19 tidak sensitif - CAP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan kit ujian COVID-19 yang tidak sensitif dan memberi keputusan negatif palsu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata pihaknya menerima banyak aduan dan pandangan orang ramai mengenai perkara itu, apabila ujian kendiri COVID-19 yang menggunakan sampel air liur dan hidung memberi keputusan berbeza.

Beliau berkata, keputusan negatif palsu itu menyebabkan mereka yang mungkin sebenarnya sudah dijangkiti, tidak menjalani kuarantin dan menyebarkan virus dalam komuniti.

"Tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai bagi melakukan sendiri ujian mengesan COVID-19 tidak berkesan bagi mengasingkan mereka yang dijangkiti daripada orang lain.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.

"Pada masa sama, mereka bergantung kepada laporan kendiri kepada Kementerian Kesihatan (KKM), yang memberi perbezaan besar dalam pengumpulan statistik.

"Justeru, CAP ingin tahu jika benar kit ujian kendiri itu tidak sensitif, kenapa pihak KKM meminta masyarakat melakukannya sendiri?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, CAP juga bimbang mengenai virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke Malaysia apabila sempadan dibuka jika kit ujian berkenaan tidak cukup sensitif bagi mengenal pasti pelancong dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini.

Berita Harian X