Rabu, 23 March 2022 | 4:45pm
Kerja pembersihan tanah runtuh yang menimpa rumah penduduk Taman Bukit Permai 2 sedang dijalankan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Kerja pembersihan tanah runtuh yang menimpa rumah penduduk Taman Bukit Permai 2 sedang dijalankan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

6 kenderaan tertimbus tanah runtuh sudah dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Enam daripada 10 kenderaan yang rosak selepas tertimbus dalam tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya dekat sini sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pemilik masing-masing.

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23, Mohamad Samat, berkata kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuhan dimulakan sejak 16 Mac berjalan lancar setakat ini termasuk mengeluarkan kenderaan tertimbus.

"Enam daripada kenderaan yang tertimbus dan rosak sudah berjaya dikeluarkan sejak semalam, yang mana empat kenderaan di Jalan Teratai 1/2J, Taman Bukit Permai 2 dan dua di Jalan Mega 15, Taman Mega Jaya.

"Ketika kenderaan dikeluarkan dan ditunda keluar, kita meletakkan syarat paling utama iaitu pemilik perlu hadir ke lokasi, dan proses itu turut dilaporkan serta diawasi polis yang berada di situ," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, pihak MPAJ akan membantu pemilik menunda keluar kereta sebelum diserahkan kepada pemilik.

"Proses selepas itu, terserah kepada pemilik untuk menguruskan perkara selanjutnya termasuk hal berkaitan tuntutan insurans dan pembaikan.

"Pada masa ini, kita masih menunggu pemilik empat lagi kenderaan yang masih belum dikeluarkan dari tempat kejadian, dan sekiranya mereka hadir kelak, kita akan berikan bantuan sewajarnya," katanya.

Mengulas mengenai kerja pembersihan, Mohamad berkata, selepas hampir lapan hari proses itu dilaksanakan, hanya empat rumah di dua deret kediaman di Jalan Teratai 1/2J yang terjejas masih dilitupi tanah runtuhan.

Kerja mengorek dan mengalihkan tanah pada hari ini sudah sampai ke rumah nombor dua hujung, dan akan diteruskan hingga ke rumah pertama dan kedua yang paling teruk terjejas.

"Dalam pada itu, usaha untuk menyalurkan bantuan kini sedang diusahakan dan sejak semalam, kita edar dan kutip semula borang permohonan bantuan kerajaan untuk mangsa yang terjejas.

"Hari ini, pasukan kajian geofizik dari Universiti Sains Malaysia (USM) hadir ke lokasi untuk membuat kajian tanah secara fizikal selain lawatan oleh kakitangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)," katanya.

Mohammad berkata, pihaknya berterima kasih dan menghargai bantuan semua pihak dalam membantu masyarakat di sini selain mencari jalan terbaik agar insiden sebegini tidak berulang pada masa hadapan.

Berita Harian X