Rabu, 23 March 2022 | 4:01pm
Foto fail BERNAMA
Foto fail BERNAMA

Abaikan janji temu dos penggalak jika bawah 17 tahun

PUTRAJAYA: Unit MySejahtera Kementerian Kesihatan (KKM) meminta individu berusia 17 tahun dan ke bawah yang menerima janji temu bagi dos penggalak untuk mengabaikan pautan dalam aplikasi berkenaan.

Selain itu, individu yang sudah mendapatkan dos penggalak namun masih menerima pautan janji temu juga boleh mengabaikan janji temu yang diberikan.

"Sekiranya individu berkenaan sudah membuat janji temu dos penggalak untuk tanggungan mereka atau untuk dos keempat melalui pautan yang dihantar, sila batalkan janji temu berkenaan dan tidak perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"PPV juga sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan mereka akan menolak kehadiran remaja untuk dos penggalak dan juga individu yang hadir untuk dos penggalak kedua atau dos keempat.

"Pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Unit MySejahtera memaklumkan, pautan janji temu itu diberikan secara automatik mengikut sela masa yang ditetapkan mengikut jenis vaksin.

"Memandangkan janji temu dalam sistem MySejahtera dihantar secara automatik, terdapat isu teknikal apabila sistem berkenaan yang menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada remaja, iaitu golongan berusia 17 tahun dan ke bawah.

"Adalah menjadi dasar KKM buat masa ini menyarankan dos penggalak hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas serta tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan kepada umum," katanya.

Berita Harian X