Rabu, 23 March 2022 | 3:50pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Akta kekang lompat parti wajar dilaksana sebelum PRU-15

KUCHING: Undang-undang khusus bagi mengekang wakil rakyat lompat parti perlu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi mengelakkan perbuatan yang boleh menyebabkan kerajaan kucar-kacir.

Gesaan itu disuarakan Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS), Persatuan Terabai Menua Sarawak (PTMS), Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA) serta Persatuan Balang Balai Nyabung (BBN).

Dalam kenyataan bersama hari ini, Timbalan Presiden DTTAS, Edward Awan; Presiden DNC, Paul Raja; Presiden TAHABAS, Romuald Siew; Presiden PTMS, Wilfred Nissem; Presiden PERASA, Robert Umping dan Setiausaha Agung BBN, John Brian, menegaskan perbuatan itu lebih didorong tawar-menawar bagi menggagalkan kerajaan sedia ada atau menubuhkan kerajaan dihajati.

"Kita semua lihat bagaimana kerajaan boleh ditubuh atau diranapkan dengan hanya semudah melompat parti atau tarik sokongan," kata mereka sambil menambah, Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan jelas menyatakan Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti mesti dibentang dan diluluskan pada mesyuarat pertama Parlimen tahun ini.

Katanya, ia dinyatakan dalam MoU secara hitam putih bahawa RUU itu perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac ini.

Justeru, mereka menggesa kerajaan membentangkan RUU itu dengan segera supaya dapat dilaksanakan menjelang PRU-15 nanti.

"Langkah itu sangat progresif dan menjadi sebahagian daripada reformasi politik yang didukung oleh kerajaan Keluarga Malaysia dengan sokongan pembangkang. Sokongan merentasi idealogi politik sedemikian bukan sahaja unik tetapi menggambarkan Malaysia sedang bergerak di landasan betul dalam kematangan demokrasi politiknya," katanya.

Mereka menambah, RUU berkenaan seharusnya diluluskan segera tanpa perlu ada sebarang ugutan daripada mana-mana pihak bagi mengelakkan sistem demokrasi negara terus dicemari susulan tindakan wakil rakyat melompat parti.

"Jika tidak diluluskan, ia mencemarkan sistem demokrasi yang ada. Mandat rakyat yang diberikan kepada seseorang itu tidak harus dikhianati dengan lompat sana sini," kata mereka turut menyifatkan RUU Antilompat Parti digubal bukan untuk menghalang proses demokrasi dalam kalangan ahli politik, sebaliknya bagi mengelakkan kemudaratan kepada negara khususnya dari sudut ekonomi.

"Apa lagi apabila seluruh rakyat Malaysia telah menjadi mangsa pengkhianatan wakil rakyat mereka yang melompat parti. Tindakan mereka itu telah menyebabkan Malaysia mengalami ketidakstabilan politik yang memudaratkan ekonomi dan pembangunannya," katanya.

Berita Harian X