Rabu, 23 March 2022 | 12:58pm

Pengarah syarikat hadapi 65 tuduhan pecah amanah lebih RM500,000

SEREMBAN: Seorang bekas pengarah syarikat logistik menghadapi 65 tuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pecah amanah jenayah dana syarikat berjumlah lebih RM500,000 tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Yap Pin Eng, 34, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Menurut pertuduhan, Pin Eng yang ketika itu sebagai pengarah syarikat CM Express Sdn Bhd dan Cell City Delivery (M) Sdn Bhd telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana dua syarikat itu dalam perjalanan urusannya sebagai pengarah syarikat telah melakukan pecah amanah jenayah dengan harta berkenaan yang berjumlah keseluruhan RM584,955.92.

Kesalahan dilakukan antara 5 Julai 2019 hingga 2 Disember 2020 di sebuah bank di Jalan Rasah, Seremban.

Justeru, tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir memberitahu kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh diberikan jaminan dan meminta mahkamah mempertimbangkan menawarkan jaminan sebanyak RM300,000 jika ia dibenarkan.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), A Partheeban merayu supaya diberi jaminan rendah kerana mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan sudah berpisah dengan suami.

Katanya, tertuduh juga tidak lagi bekerja sejak Disember 2020 dan menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan lain kerana akaun banknya dibekukan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan secara kumulatif berjumlah RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di Balai Polis Seremban 2 pada Sabtu minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Seorang bekas pengarah syarikat, Yap Pin Eng, 34, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas 65 pertuduhan pecah amanah wang syarikat yang berjumlah keseluruhan RM584,955.92 tiga tahun lalu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Seorang bekas pengarah syarikat, Yap Pin Eng, 34, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas 65 pertuduhan pecah amanah wang syarikat yang berjumlah keseluruhan RM584,955.92 tiga tahun lalu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X