Rabu, 23 March 2022 | 12:04am
Graduan OKU UPM Master Bahasa Melayu dan Komunikasi, Hussain Said (tengah) bersama rakan-rakan graduan penerima Hadiah Universiti sesi 2020 /2021 pada majlis konvokesyen UPM ke-45. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Graduan OKU UPM Master Bahasa Melayu dan Komunikasi, Hussain Said (tengah) bersama rakan-rakan graduan penerima Hadiah Universiti sesi 2020 /2021 pada majlis konvokesyen UPM ke-45. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Kekurangan diri tak halang graduan OKU genggam ijazah UPM

KUALA LUMPUR: Kekurangan diri bukanlah penghalang buat beberapa graduan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menggenggam segulung ijazah, pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45, hari ini.

Mohamad Ridzuan Zakaria, 27, yang menghidap sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) sejak kecil, antara graduan berjaya memperoleh ijazah dalam program Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu).

Graduan berusia 27 tahun itu berkata doktor mengesahkan beliau didiagnosis dengan ADHD, berikutan komplikasi dalam kandungan dan perkara itu menyebabkan beliau mengalami masalah daya ingatan lemah, serta sukar bergaul dengan rakan-rakan ketika di bangku sekolah.

"...di kampus pula ramai meragui kebolehan saya, dan ada yang mempersoalkan sekiranya saya ada masalah ADHD, nampak macam okay sahaja. Tapi saya faham, tidak ramai tahu sememangnya ada OKU ADHD di Malaysia," katanya ketika ditemui di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM hari ini.

Graduan Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) Mior Mohd Firdaus Mior Mohd Fadzli (kiri) bersama rakan sekelasnya Mohamad Ridzuan Zakaria (kanan) bergambar selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45. - Foto BERNAMA
Graduan Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) Mior Mohd Firdaus Mior Mohd Fadzli (kiri) bersama rakan sekelasnya Mohamad Ridzuan Zakaria (kanan) bergambar selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45. - Foto BERNAMA

Bagi menolak persepsi masyarakat dan rakan-rakan, Ridzuan mengambil inisiatif dengan menyertai pelbagai aktiviti di kampus, seperti menjadi presiden Persatuan Silat Gayung di UPM serta memasuki pertandingan membaca puisi di peringkat kolej, walaupun keputusan yang kurang memberangsangkan.

Graduan OKU yang turut menerima ijazah bagi program Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) adalah Mior Mohd Firdaus Mior Mohd Fadzli, 25, yang mengalami kecacatan fizikal di kaki kanan, selepas terlibat dengan kemalangan motosikal pada 2012.

Beliau pada mulanya hanya mengalami patah kaki kanan sebelum kaki itu menjadi kehitaman dan terpaksa dipotong, menyebabkan beliau perlu memakai kaki palsu pada 2014.

"Terus terang saya katakan, takut dan saya tidak pernah keluar berdikari untuk guna kaki palsu di tempat orang. Alhamdulillah, akhirnya saya rasa mudah kerana ramai orang yang membantu dan ada Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU, yang menyediakan van serta kolej untuk pelajar-pelajar OKU," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X