Selasa, 22 March 2022 | 7:43pm
Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022. - NSTP/Aizuddin Saad
Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022. - NSTP/Aizuddin Saad

Dewan Rakyat lulus RRU Perbekalan Tambahan (2021) 2022

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2021 sebanyak RM8.413 bilion.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan mendapat sokongan suara terbanyak Ahli Parlimen.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk pindahan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2021 ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM2.235 bilion dan RM64.26 juta yang merupakan sebahagian daripada keperluan kewangan untuk menampung Perbelanjaan Pembangunan bagi 2021.

Sebanyak RM6.18 bilion pula adalah peruntukan tambahan langsung kepada kementerian dan jabatan yang telah diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi peruntukan bagi membiayai perkara-perkara yang komited pada 2021.

Terdahulu, Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan RUU itu pada peringkat jawatankuasa, disusuli sesi penggulungan oleh kementerian terbabit dalam anggaran perbelanjaan tambahan itu.

Kementerian berkenaan termasuklah Kementerian Kewangan sebanyak RM7.81 bilion serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM539.6 juta) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (RM67.7 juta).

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

– BERNAMA

Berita Harian X