Selasa, 22 March 2022 | 5:46pm
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia bagi memaklumkan hasil lawatan kerja beliau selama dua hari ke Vietnam di hotel penginapannya hari ini. Turut hadir Menteri Luar Datuk Shaifuddin Abdullah (kiri) dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan). Beliau berkata Malaysia mencadangkan supaya dimuktamadkan proses integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC COVID Vietnam bagi menggalakkan aktiviti pelancongan. - fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia bagi memaklumkan hasil lawatan kerja beliau selama dua hari ke Vietnam di hotel penginapannya hari ini. Turut hadir Menteri Luar Datuk Shaifuddin Abdullah (kiri) dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan). Beliau berkata Malaysia mencadangkan supaya dimuktamadkan proses integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC COVID Vietnam bagi menggalakkan aktiviti pelancongan. - fotoBERNAMA

Malaysia, Vietnam capai kata sepakat isu antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil peluang membincangkan isu antarabangsa bersama Vietnam membabitkan soal Laut China Selatan, Myanmar, Rohingya dan konflik Rusia-Ukraine dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu yang berakhir hari ini.

Perdana Menteri berkata, pihaknya menggariskan keperluan untuk negara ASEAN mencapai dan mengukuhkan kesepakatan berhubung isu dalaman ASEAN dan isu antarabangsa bagi memastikan perpaduan, sentral dan kredibiliti.

"Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh bersetuju dengan pendirian kita supaya ASEAN mengambil pendirian dan pendekatan bersama bukan sahaja isu serantau, tetapi juga isu antarabangsa.

"Ini penting bagi memastikan ASEAN dihormati dan tidak mudah dieksploitasi oleh mana-mana kuasa asing di luar ASEAN," katanya dalam nota percakapan sidang media sempena lawatan rasmi ke Vietnam.

Dalam konflik Rusia-Ukraine, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Vietnam sepakat mengambil sikap berkecuali namun tetap memberi penekanan kepada pentingnya semua negara menghormati dan mengamalkan prinsip serta undang-undang antarabangsa berkaitan dengan kedaulatan dan keutuhan wilayah setiap negara.

Beliau berkata, Malaysia dan Vietnam juga sepakat supaya usaha damai perlu diteruskan untuk mencari penyelesaian aman kepada konflik terbabit.

"Malaysia dan Vietnam juga gusar dengan pendekatan sekatan sama (unilateral). Bagi Malaysia, kita hanya mengiktiraf sekatan yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Berhubung isu Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata, Vietnam bersetuju dan menyambut baik pendirian Malaysia supaya negara ASEAN, khususnya negara penuntut harus berusaha untuk mencapai kesepakatan atau pendirian bersama.

Katanya, langkah ini penting dalam menangani dan mendepani sebarang tuntutan unilateral yang berlebihan selain bagi negara persisir Laut China Selatan menangani atau mengelakkan sebarang bentuk provokasi dan pertembungan antara kuasa besar di Laut China Selatan.

"Pemimpin turut sependapat bahawa Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman. Dalam hal ini, adalah penting untuk memastikan kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan seperti diperuntukkan di bawah UNCLOS 1982," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Vietnam sepakat untuk terus menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara berkenaan Myanmar selain memberi sokongan padu kepada Utusan Khas Pengerusi ASEAN berkenaan Myanmar yang sedang mengadakan lawatan pertama ke negara itu bermula semalam.

Sementara itu, dalam isu Rohingya, Malaysia dan Vietnam bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri bahawa soal etnik itu tidak wajar dibebankan ke atas sebuah negara sahaja, tetapi sepatutnya menjadi tanggung jawab bersama ASEAN dan masyarakat dunia.

Berita Harian X