KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan RM272,500 melalui program zakatnya bertujuan membantu golongan asnaf terpilih untuk bergelar usahawan dalam bidang jahitan.
Melalui Program Sinar Baru TH dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Dana Kita, Bengkel Pengurusan Jahitan akan dianjurkan secara percuma menyasarkan penyertaan 50 asnaf.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata program itu akan memberikan peluang terbaik kepada asnaf terpilih untuk bangkit dan memperbaiki taraf kehidupan mereka.
"Program ini satu usaha yang amat baik dengan hasrat membantu memberi kemahiran asas kepada asnaf supaya mereka dapat berdikari seterusnya menjadi usahawan, hasil ilmu daripada kemahiran yang dipelajari.
"Jika kita lihat negara dilanda pandemik pada akhir 2019, ramai dalam kalangan masyarakat terutama golongan B40 hilang pekerjaan, hidup mereka jadi bertambah sukar, malah ada dalam kalangan M40 turut terkesan, dihimpit beban kewangan yang teruk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sinar Baru TH-Dana Kita di Menara TH, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab dan Bendahari Pertubuhan Dana Kita, Muhammad Zahran Yaacob.
Ahmad Marzuk berkata, dana sumbangan TH itu akan disalurkan bagi pembelian mesin jahit industri, barangan keperluan jahitan, seterika wap, makan minum sepanjang bengkel asas selama tiga hari, termasuk kos pengurusan.
"Peserta turut dipantau oleh Pertubuhan Dana Kita selama setahun, selain akan diberikan projek jahitan bersesuaian yang boleh memberikan pulangan baik kepada asnaf terbabit," katanya.