Selasa, 22 March 2022 | 1:29pm

Panel bebas turut pantau, bincang isu Azam Baki

KUALA LUMPUR: Kes dakwaan pemilikan saham berkait Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM), Tan Sri Azam Baki, turut dipantau dan dibincangkan dalam mesyuarat dua panel bebas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ia membabitkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) serta Jawatankuasa Aduan (JKA) sebagai langkah semak dan imbang.

Beliau berkata, kedua-duanya merupakan antara lima panel bebas yang menjalankan pemantauan terhadap SPRM sejak 2009, di samping Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Panel Penilaian Operasi (PPO), serta Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

"Setiap jawatankuasa ini mempunyai terma serta rujukan masing-masing yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap penunaian fungsi suruhanjaya itu, selain daripada siasatan pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kes Tan Sri Azam Baki juga dibincangkan dalam mesyuarat LPPR dan JKA yang mempunyai kuasa untuk memantau serta memberi pandangan dan cadangan mengenai siasatan dijalankan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) mengenai langkah diambil kerajaan supaya menteri atau penjawat awam boleh dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung isu rasuah dan salah laku.

Mengulas lanjut berhubung kes berkait Azam, Mas Ermieyati berkata, laporan sudah diperoleh, manakala siasatan berkenaan peraturan dan undang-undang pemilikan saham juga telah dijalankan oleh SC.

"Siasatan telah selesai dan SC mendapati tiada kesalahan dibuat berkenaan saham yang dilaporkan ke atas beliau pada 2015 dan 2016, berdasarkan semua dokumen ketika siasatan. Begitu juga difahamkan PDRM sedang menjalankan siasatan sebagaimana jawapan diberikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu," katanya.

Menjawab soalan mengenai langkah proaktif kerajaan untuk meningkatkan kewibawaan SPRM dalam menghadapi kes rasuah yang semakin kritikal pula, Mas Ermieyati memaklumkan bahawa melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, pelbagai usaha dilaksanakan bagi pemantapan governan, integriti dan antirasuah dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Katanya, ia membabitkan pelbagai platform dan kaedah bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan pentadbiran kerajaan, termasuk meningkatkan kewibawaan SPRM.

Malah, beliau berkata, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menambah baik fungsi perundangan membabitkan bidang kuasa SPRM, termasuk beberapa peruntukan baharu bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 (Akta 694).

"Pelan NACP 2019-2023 juga menerajui 11 inisiatif serta menjadi agensi sokongan bagi 22 inisiatif yang lain. Pelan berkenaan termasuklah inisiatif untuk sama-sama memperkasakan SPRM dalam memperkukuhkan agensi penguatkuasaan undang-undang.

"NACP 2019-2023 menggariskan inisiatif untuk memperkasakan SPRM, termasuk khususnya dalam pelantikan Ketua Pesuruhjayanya, peruntukan kewangan, jawatankuasa pemantau, penubuhan suruhanjaya perkhidmatan dan tenaga kerja," katanya.

(Gambar fail) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
(Gambar fail) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Berita Harian X