Selasa, 22 March 2022 | 12:39pm

KPKT kaji gubal akta kawal selia pembaharuan semula bandar

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji keperluan menggubal satu akta khusus bagi mengawal selia proses pelaksanaan pembaharuan semula bandar.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) juga sedang menggubal pindaan Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) mengenai persetujuan pemilik petak serta tatacara penamatan skim strata bagi membolehkan pembinaan semula sesuatu bangunan dilaksanakan.

Beliau berkata, cadangan penggubalan akta baharu dan pindaan Akta 318 itu antara lain bertujuan memudahkan usaha pembangunan semula bangunan serta flat lama yang usang di bandar.

Katanya, antara ciri kawasan yang memerlukan pembaharuan semula ialah kawasan atau bangunan usang yang terbiar dan menimbulkan imej atau identiti bandar kurang menarik.

"Selain itu, kawasan yang mengalami kemerosotan kualiti persekitaran; peningkatan pencemaran, kadar jenayah dan sosial; serta kediaman yang sesak dan substandard serta tidak sesuai dengan keadaan semasa.

"Bagi menangani isu bangunan usang, khususnya membabitkan skim strata, JKPTG sedang menggubal pindaan Akta 318 berkaitan persetujuan pemilik petak serta tatacara penamatan skim strata bagi membolehkan pembinaan semula bangunan.

"KPKT juga berpendapat memang ada keperluan menjalankan kajian terperinci dan menyeluruh mengenai kesesuaian penggubalan satu akta khusus berkenaan pembaharuan semula bandar," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai strategi KPKT memperkenalkan program dan perundangan berhubung pembangunan semula bandar bagi mengatasi isu flat usang di bandar.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, keperluan perundangan khusus timbul berdasarkan beberapa kes pembangunan semula yang berdepan kesukaran apabila membabitkan pengambilan tanah.

Beliau menjelaskan, ia berdasarkan pembaharuan semula di Kerinchi yang mengambil tempoh lama apabila pemilikan strata telah dipecah milik kepada individu, berbanding proses di Razak Mansion yang lebih mudah kerana tanahnya bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan berstatus pajakan.

"Penggubalan akta membabitkan pembaharuan semula bandar juga berkait tujuh atau lapan akta lain, seperti Kanun Tanah Negara, Akta 318, Akta Pengurusan Strata 2013, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, merangkumi fungsi kementerian yang agak rentas.

"KPKT sedang mengadakan penilaian impak perundangan sebagai permulaan ke arah penggubalan undang-undang baharu yang bersifat rentas, konklusif dan komprehensif untuk melaksanakan pembaharuan semula bandar," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai langkah KPKT mengatasi isu 3,519 perumahan lama yang usang pula, Reezal Merican berkata, pihaknya akan menggunakan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) untuk menguruskan perumahan berkenaan.

"Ya, memang ada sekitar 3,519 skim perumahan yang tiada badan pengurusan bersama serta jawatankuasa pengurusan, dan keadaan kediaman strata ini dalam keadaan amat usang.

"Saya bangkitkan di KPKT dan Kementerian Kewangan bahawa ada keperluan untuk peruntukan TPPM ditambah bagi memungkinkan flat seperti ini dibantu kerajaan," katanya.

(Gambar fail) Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA
Berita Harian X