Isnin, 21 March 2022 | 7:09pm
Anggota polis bersama kakitangan TNB memotong bekalan elektrik di rumah kedai yang terbabit kegiatan perjudian di sekitar Tangkak. - Foto NSTP/AHMAD ISMAIL
Anggota polis bersama kakitangan TNB memotong bekalan elektrik di rumah kedai yang terbabit kegiatan perjudian di sekitar Tangkak. - Foto NSTP/AHMAD ISMAIL

Polis, TNB potong bekalan elektrik 3 premis judi

TANGKAK: Pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di tiga premis yang menjalankan kegiatan perjudian di Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata pemotongan itu dibuat di kawasan rumah kedai sekitar bandar Tangkak, Jalan Naib Long , Kangkar Baru dan Serom.

Katanya, operasi bermula jam 2 petang itu dijalankan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dan pegawai TNB Tangkak.

"Sebelum ini, serbuan dilakukan di 16 premis yang disyaki menjalankan perjudian mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sepanjang Januari hingga Februari lalu.

"Kebanyakan premis yang diserbu adalah rumah kedai dipercayai disewa oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti judi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, tiga premis berkenaan dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik selaras peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan bagi memerangi kegiatan judi di daerah ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Tangkak di talian 06-9781222.

Berita Harian X