Isnin, 21 March 2022 | 4:11pm
Annuar (tengah) bermaha mesar bersama penduduk ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas. - FOTO BERNAMA
Annuar (tengah) bermaha mesar bersama penduduk ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas. - FOTO BERNAMA

Kata dua DAP tidak wajar, mengelirukan

PASIR MAS: Kata dua DAP untuk menamatkan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) jika Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen, disifatkan sebagai mengelirukan.

Justeru, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU, Tan Sri Annuar Musa, menasihatkan parti itu tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian berkaitan MoU terbabit yang boleh mengelirukan rakyat.

Sambil menyifatkan tindakan DAP memberi kata dua itu sebagai tidak wajar, beliau berkata, kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak akan sesekali tunduk dengan segala ugutan mana-mana parti politik mengenai perkara yang boleh mengelirukan rakyat.

"Kita kena faham RUU Anti Lompat Parti membabitkan pindaan Perlembagaan yang perlu dibawa ke Parlimen, yang mana memerlukan sokongan dua pertiga dan jumlah berkenaan masih belum dicapai.

"Selain itu, jemaah menteri sudah membuat ketetapan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), membuat rundingan awal dengan semua parti politik supaya hasilnya dibawa ke Parlimen, dan ia tidak boleh tergesa-gesa hanya kerana ditekan DAP.

"Antara perkara perlu dimuktamadkan ialah pentafsiran 'lompat' itu sendiri kerana di dalam draf ia termasuklah individu yang dibuang parti, padahal situasi sebenar adalah sebaliknya," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai kerajaan dan PH akan ditamatkan jika RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen.

Bagaimanapun, Guan Eng dilaporkan berkata, MoU berkenaan masih boleh 'diselamatkan' sekiranya Perdana Menteri yang mewakili kerajaan memberi penjelasan berhubung kedudukan RUU itu.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata sehingga kini 80 peratus perkara dalam MoU kerajaan dan pembangkang daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah dilaksanakan.

"Ada beberapa perkara sahaja lagi termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan cadangan untuk RUU Anti Lompat Pati dibincangkan, manakala yang lain berjalan lancar.

"Oleh itu saya bersetuju agar jangan ada pihak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat seolah-olah berlaku ketidaksefahaman dalam parti gabungan," katanya.

Berita Harian X