GURU bukan sahaja berperanan mengajar di sekolah, malah menggalas tanggungjawab besar melebihi tugas hakiki dalam mendidik, membentuk dan memberi inspirasi kepada anak bangsa yang menjadi harapan negara.
Bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka, rangkaian global restoran khidmat segera, McDonald's tampil dengan Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald's buat tahun keenam selepas dianjurkan buat kali pertama pada 2017.
AGI McDonald's dianjurkan setiap tahun oleh McDonald's Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen bagi menyumbang kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya.
Melalui AGI McDonald's, McDonald's Malaysia terus mengiktiraf golongan pendidik yang sentiasa komited dan berdedikasi demi mendidik pemimpin masa hadapan negara.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata pihaknya melihat banyak perubahan dalam sistem pendidikan sejak dua tahun lalu.
Katanya, guru perlu melalui peralihan daripada pengajaran di dalam kelas kepada kelas secara dalam talian, termasuklah versi lain yang membabitkan pengajaran secara hibrid.
"Pengiktirafan terhadap jasa guru menjadi semakin penting dan Anugerah Guru Inspirasi yang dianjurkan pada tahun 2022 ini berhasrat untuk terus meraikan guru atas usaha mereka memastikan pendidikan golongan pelajar di seluruh negara kekal terjamin," katanya.
Beliau berkata, guru seperti ini memberi inspirasi kepada pelajar untuk membesar sebagai individu yang mengenali potensi diri dan aspirasi kehidupan mereka.
"Mereka sanggup berkorban demi memenuhi keperluan pelajar, pada masa sama membawa pengaruh positif sehingga mewujudkan kesan besar dan mengubah perspektif kehidupan para pelajar." katanya.
Rakyat Malaysia sudah boleh mencalonkan guru yang memberi inspirasi kepada diri mereka sehingga 2 April 2022 dengan berkongsi kisah 'Cikgu Luar Biasa' sama ada dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina.
Pencalonan boleh dibuat hanya dengan tiga langkah mudah iaitu log masuk ke laman web AGI McDonald's, hantar borang pencalonan dan tulis bagaimana guru anda memberi inspirasi kepada diri dan jika ada, hantar gambar guru sebagai dokumen sokongan.
AGI McDonald's akan memilih 25 kisah guru yang paling berinspirasi sebagai pemenang yang akan menerima wang tunai RM5,000, manakala pencalon yang mencalonkan guru yang menang akan menerima baucar hadiah McDonald's bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.
Guru yang terpilih menerima anugerah ini dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada wakil McDonald's, Kementerian Pendidikan dan media.
Kriteria pemilihan dalam mengenal pasti guru yang layak termasuklah kemampuannya meningkatkan prestasi akademik pelajar, menggunakan kaedah pengajaran berinovasi dan di luar kotak, melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas hakiki untuk membantu pelajar serta memberi impak positif kepada diri pelajar.
AGI McDonald's sudah menerima lebih 19,000 pencalonan dengan lebih 106 guru sudah menerima anugerah ini di seluruh negara sejak diperkenalkan pada 2017.
Selain meraikan golongan pendidik, McDonald's Malaysia turut mendekati dan menyumbang kepada masyarakat melalui Program Komuniti @ McDonald's & RMHC yang dijalankan sepanjang tahun.
Inisiatif tahun lalu termasuklah menyambut hari jadi lebih 12,000 kanak-kanak di 400 rumah anak yatim di seluruh negara dan mengagihkan pek "Kembali ke Sekolah" bernilai RM1.66 juta kepada 21,000 pelajar.