Isnin, 21 March 2022 | 3:06pm

'Letak pencawang komunikasi di tempat tinggi, elak gangguan banjir'

PASIR MAS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam perancangan mengubah suai beberapa pencawang komunikasi di beberapa lokasi sering dilanda banjir bagi mengelak berlaku gangguan komunikasi.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata semua pencawang komunikasi bergantung kepada bekalan elektrik dan jika ditenggelami banjir, ia turut menyebabkan komunikasi di kawasan berkenaan terjejas.

Susulan itu, beliau berkata, satu langkah disusun bagi memastikan segala kelengkapan penting perlu diletakkan di tempat lebih tinggi supaya komunikasi tidak terganggu terutama apabila banjir melanda.

"Pihak kementerian sudah menerima laporan secara berkala berkenaan maklumat pencawang yang mengalami kerosakan dengan arahan turut dikeluarkan supaya tindakan membaik pulih dilakukan segera.

"Kerajaan berusaha memastikan masalah komunikasi terutama di kawasan pedalaman diatasi segera bagi memudahkan urusan masyarakat yang memerlukan rangkaian terbaik untuk berhubung," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas, di sini, hari ini.

Sementara itu, Annuar yang juga seorang daripada Menteri Kuartet COVID-19 meluahkan kebimbangan berkaitan kadar vaksinasi yang rendah membabitkan remaja dan golongan berisiko tinggi di Kelantan dalam menghadapi transisi endemik.

"Pintu sempadan bakal dibuka yang memberi peluang kepada lebih banyak aktiviti keluar masuk, sekali gus mendatangkan kebimbangan kepada penambahan kes COVID-19 terutama apabila masih ramai rakyat Kelantan tidak divaksin atau mengambil dos penggalak.

"Saya berharap ketua komuniti di setiap kawasan dapat memainkan peranan, manakala kempen kesedaran terus dijalankan supaya rakyat Kelantan lebih terbuka untuk divaksinasi demi kebaikan bersama.

"Kementerian melalui syarikat komunikasi seperti Maxis, Celcom dan Digi turut memainkan peranan menghantar mesej penting kepada pelanggan bagi memberi kesedaran kepentingan vaksinasi dan dos penggalak," katanya.

Annuar berkata, transisi endemik bukan fasa untuk masyarakat khususnya yang belum mendapat suntikan lengkap berada dalam keadaan tenang, kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku jika diri tidak dilindungi vaksinasi.

 Annuar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas, hari ini. - NSTP/Syaherah Mustafa
Annuar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas, hari ini. - NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X