Isnin, 21 March 2022 | 12:22pm
Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zulkifli Sayuti, 49 (kanan) bersama rakan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Kuantan. - Foto ihsan UMP
Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zulkifli Sayuti, 49 (kanan) bersama rakan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Kuantan. - Foto ihsan UMP

Hampir putus asa belajar, hilang tiga insan istimewa

KUANTAN: Kehilangan tiga insan istimewa sepanjang empat tahun pengajian cukup berat dihadapi graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zulkifli Sayuti, 49.

Zulkifli yang juga Penolong Pegawai Latihan Vokasional Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka kehilangan bapa, bapa mentua dan sahabat, menyebabkannya hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan pengajian di universiti itu.

"Bapa saya, Sayuti Subari, meninggal dunia akibat strok pada Disember 2016 manakala bapa mentua, Selamat Tukiran pula kerana kanser usus pada 2018. Dua kejadian ini begitu meruntun hati saya, namun sahabat baik, Rosli Khamis, yang berusaha memujuk supaya tidak berhenti belajar.

"Namun, siapa sangka, beliau (Rosli) pula yang meninggalkan kami akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menghadiri kelas di UMP pada 2018.

"Saya hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan pengajian. Namun, berkat sokongan keluarga dan rakan, saya meneruskan pengajian dan akhirnya berjaya mendapat ijazah," katanya.

Zulkifli adalah antara 24 tenaga pengajar IKM yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15, baru-baru ini.

Beliau turut berbangga kerana pengorbanan selama empat tahun berulang-alik dari Melaka ke UMP Pekan sejauh kira-kira 480 kilometer pada setiap minggu, akhirnya membuahkan hasil.

"Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Pembuatan ini diharapkan memberikan inspirasi kepada empat anak saya yang berusia antara lapan tahun dan 17 tahun.

"Penghargaan istimewa buat isteri, Nur Dewi Suzana Selamat, 44, yang memberikan sokongan dan semangat untuk saya mencapai cita-cita menerima ijazah pada usia 40-an," katanya.

Berita Harian X