Isnin, 21 March 2022 | 11:33am

K-KOMM mahu ambil alih pengurusan royalti penyanyi

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedang berbincang untuk mengambil alih aspek pengurusan royalti dan kebajikan artis nyanyian daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata ketika ini K-KOMM hanya bertanggungjawab menguruskan kebajikan bagi individu yang terbabit dalam industri perfileman dan drama.

Katanya, susulan pertelingkahan dalam kalangan persatuan membabitkan artis nyanyian mengenai isu royalti sebelum ini, K-KOMM berhasrat mengambil alih pengurusan berkaitan isu itu bagi memastikan kebajikan semua anak seni terbela.

"Sekarang K-KOMM hanya uruskan artis yang bukan penyanyi, kerana penyanyi diuruskan oleh KPDNHEP, sama ada membabitkan royalti dan sebagainya.

"Tetapi, isu kebajikan mereka agak bermasalah kerana persatuan (penyanyi) ini bertelagah dan wang hasil kutipan royalti untuk kebajikan penyanyi menjadi masalah.

"Kita sedang berbincang dalam Pasukan Petugas Industri Kreatif untuk membawa mereka (pengurusan membabitkan artis nyanyian) ke K-KOMM," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang bertanyakan usaha dan insentif kementerian untuk membantu pelakon dan artis menabung menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Zahidi berkata, pasukan petugas yang ditubuhkan kementerian turut membabitkan wakil industri dan persatuan seperti Persatuan Pengeluar Filem (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan lain-lain.

"Penubuhan pasukan petugas ini bertujuan meneliti dan memudah cara langkah penambahbaikan industri kreatif termasuk kebajikan pengiat seni, termasuk artis, pelakon serta pekerja belakang tabir, seperti caruman KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta perlindungan insurans," katanya.

Setakat ini, kata Zahidi, K-KOMM menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memperkenalkan inisiatif skim PERKESO kepada penggiat seni berkenaan.

"Kita letakkan syarat supaya semua syarikat produksi filem tempatan yang berjaya menerima dana kandungan digital (DKD) melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), untuk mencarum dengan PERKESO sebagai pekerja filem, pelakon dan sebagainya.

"Peruntukan caruman PERKESO ini akan ditolak daripada jumlah DKD yang berjaya diterima syarikat produksi. KWSP juga mungkin kita akan letak syarat yang sama," katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin
Berita Harian X