Isnin, 21 March 2022 | 10:06am
Nasrin Mukmin tetap bersemangat ke sekolah walaupun terpaksa memakai selipar berikutan kasut sekolah hilang dibawa arus banjir baru-baru ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nasrin Mukmin tetap bersemangat ke sekolah walaupun terpaksa memakai selipar berikutan kasut sekolah hilang dibawa arus banjir baru-baru ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Cekalkan hati ke sekolah walaupun pakai selipar

RANTAU PANJANG: "Maafkan saya, cikgu. Saya pakai selipar sebab kasut sekolah hilang dihanyutkan banjir, baru-baru ini."

Demikian penjelasan Nasrin Mukmin Nasir, 10, kepada guru yang menyambut ketibaan murid pada hari pertama sesi akademik 2022/2023, hari ini, di pintu pagar Sekolah kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini.

Biarpun terpaksa berselipar saja, Nasrin Mukmin tetap bersemangat dan enggan ketinggalan menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka.

Pada awalnya, kanak-kanak itu kelihatan risau tetapi akhirnya tersenyum lega apabila guru bertugas tidak memarahi, sebaliknya terus memberi semangat dan mengucapkan syabas kerana tetap hadir ke sekolah walaupun masih baru ditimpa musibah banjir.

"Saya tiada kasut sekolah lain untuk dipakai, selain tidak mahu menyusahkan ibu untuk membeli yang baharu.

"Abah hanya mengambil upah sebagai buruh dan ibu pula tidak bekerja. Sudah pasti mereka sukar untuk mencari wang memandangkan kediaman kami juga teruk ditenggelami banjir.

"Oleh itu, saya cekalkan hati untuk datang juga ke sekolah dengan memakai selipar getah saja, sebab ingat pesan ibu supaya terus belajar walau dalam keadaan apa sekalipun," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Seorang lagi murid yang juga mangsa banjir baru-baru ini, Mohd Anas Ashraf, 9, turut bersemangat ke sekolah dan bertemu semula dengan rakan serta guru, biarpun terpaksa memakai selipar saja.

"Kasut sekolah saya tidak hilang dibawa arus banjir, namun disaluti lumpur tebal. Ibu sudah cuba mencucinya berkali-kali tetapi kesan lumpur tetap tidak hilang. Oleh itu, ia perlu digantikan dengan kasut baharu.

"Saya datang dulu ke sekolah dengan berselipar, hari ini, sebab ibu dan ayah berjanji untuk membeli kasut dalam masa terdekat selepas mereka boleh kembali bekerja.

"Sebenarnya, saya takut juga dimarahi guru kerana tidak berpakaian seragam lengkap. Namun, saya lega kerana cikgu memahami keadaan kami yang menjadi mangsa banjir," katanya.

Ibu bapa menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh pada hari pertama persekolahan Penggal 1, 2022/2023 di Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ibu bapa menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh pada hari pertama persekolahan Penggal 1, 2022/2023 di Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Murid-murid beratur masuk ke sekolah pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Murid-murid beratur masuk ke sekolah pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan To'Deh yang hadir pada hari pertama persekolahan hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan To'Deh yang hadir pada hari pertama persekolahan hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Ibu bapa menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh pada hari pertama persekolahan Penggal 1, 2022/2023 di Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ibu bapa menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh pada hari pertama persekolahan Penggal 1, 2022/2023 di Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu Guru Besar SK Gual To'Deh, Wan Abd Fatah Wan Yusof, berkata sekolah berkenaan mencatat kehadiran kira-kira 95 peratus murid, hari ini, walaupun hampir 90 peratus mereka bersama keluarga adalah mangsa banjir baru-baru ini.

"Mereka mengalami kerosakan harta benda agak teruk akibat bencana itu, namun tetap berusaha menghantar anak ke sekolah, hari ini, dengan majoriti berpakaian seragam yang lengkap.

"Walaupun ada segelintir tidak berpakaian seragam sekolah yang lengkap, ia tidak menjadi masalah untuk mereka hadir menimba ilmu selepas sekian lama terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Ketika banjir baru-baru ini, SK Gual To'Deh turut dinaiki air hingga mencecah paras 0.5 meter. Justeru, pihak sekolah bergotong-royong melakukan kerja pembersihan sebelum sekolah dibuka semula," katanya.

Mustafa Ahmad, 67, pula berkata beliau terpaksa membeli pakaian seragam baharu untuk dua cucunya selepas barangan kelengkapan sekolah mereka hilang dihanyutkan arus banjir.

"Kediaman kami dinaiki air hingga paras dua meter menyebabkan semua barangan dalam rumah mengalami kerosakan.

"Namun, saya tetap berusaha menyediakan pakaian, beg dan kasut baharu untuk cucu yang dilihat teruja untuk memulakan persekolahan pada hari ini," katanya.

Berita Harian X