Isnin, 21 March 2022 | 8:46am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

71 lagi korban COVID-19 direkodkan

PUTRAJAYA: Sebanyak 71 lagi korban COVID-19 direkodkan, semalam, termasuk 26 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Menurut laman sesawang COVIDNOW, perkembangan itu membawa kepada jumlah 34,400 kematian akibat COVID-19 dengan 7,225 kes BID, setakat ini.

Dua negeri mendahului dengan masing-masing mencatat 14 kematian baharu, iaitu Kedah meliputi lima kes BID, dan Perak (termasuk empat kes BID).

Johor menyusul dengan 11 kematian meliputi dua kes BID; Selangor (tujuh kes dengan satu BID); dan masing-masing lima korban di Kelantan (kesemuanya BID), Pulau Pinang (termasuk tiga BID) serta Sarawak (termasuk dua BID).

Negeri Sembilan pula empat kematian termasuk satu kes BID; masing-masing dua korban di Terengganu dan Kuala Lumpur (kedua-duanya kes BID); serta masing-masing satu kematian di Melaka (BID) dan Pahang.

Sementara itu, sebanyak 34,970 dos vaksin COVID-19 diberikan, semalam, membabitkan 16,078 dos pertama, dos kedua (1,193) dan dos penggalak (17,699).

Daripada jumlah itu, sebanyak 14,902 dos diberikan kepada populasi berusia lima hingga 11 tahun; remaja berusia 12 hingga 17 tahun (1,291); dan populasi dewasa (18,777 termasuk dos penggalak).

Berita Harian X