Ahad, 20 March 2022 | 6:59pm

MOF mulakan sesi rundingan, penawaran kepada syarikat telekomunikasi

KOTA BHARU: Kementerian Kewangan akan memulakan sesi rundingan dan penawaran kepada sembilan syarikat telekomunikasi yang memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, berkata proses rundingan yang sedang dijalankan itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini.

"Kerjasama ini juga akan membolehkan pelaksanaan rangkaian 5G di dalam negara boleh dipercepatkan dan mampu diselesaikan pada Jun ini.

"Kalau tidak silap saya, ada tujuh atau sembilan syarikat yang pernah diberikan spektrum untuk menguruskan perkhidmatan telekomunikasi ini.

"Jadi, mereka ditawarkan untuk mula berunding dan mengambil saham pada harga yang diputuskan dan kita harap mereka dapat menyegerakan rundingan ini.

"Selain itu, kita juga akan beri percuma rangkaian 5G dalam tempoh tertentu di kawasan seperti Cyberjaya, Putrajaya dan Kuala Lumpur, " katanya ketika ditemui di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, syarikat telekomunikasi akan memegang ekuiti DNB sebanyak 70 peratus, manakala 30 peratus dimiliki kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN), dengan membuka ruang untuk syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, dilaporkan berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa kerajaan yang kini memiliki 100 peratus ekuiti DNB akan menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA
Berita Harian X