Ahad, 20 March 2022 | 4:07pm

Ganjaran istiqamah 40 hari solat Subuh berjemaah

MELAKA: Seramai 22 kanak-kanak yang menyertai Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari di Kampung Pengkalan Batu di sini, tersenyum girang apabila menerima hadiah basikal atas kegigihan masing-masing hari ini.

Selepas 40 hari secara berterusan 'bangun awal' setiap pagi demi mengikuti progam anjuran Biro Pendidikan/Agama/Dakwah dan Ziarah Kasih, Masjid Nur As-Sa'adah bermula 2 Februari lalu, mereka akhirnya disahkan lulus dan layak mendapat sebuah basikal setiap seorang.

Peserta, Muhammad Qairul Aziz Rosdi, 10, bersyukur menerima hadiah basikal yang diidamkan sejak mendaftar untuk program itu.

"Ketika mula-mula hadir untuk solat Subuh berjemaah pada Februari lalu, saya lebih tertarik untuk menang basikal semata-mata.

"Namun, lama-kelamaan timbul pula rasa minat untuk ke masjid setiap hari bersama rakan-rakan. Alhamdulillah, syukur atas hadiah basikal ini dan terima kasih kepada masjid serta pihak yang menganjurkan program ini," katanya.

Murid Tahun 3, Muhamad Tarmizi Faezal, 9, gembira kerana dapat datang ke masjid dengan berbasikal bersama kawan-kawan dan tidak perlu berjalan kaki atau datang bersama keluarga selepas ini.

"Seronok datang ke masjid ini kerana bukan saja dapat solat, malah ada makanan disediakan dan dapat bermain dengan ramai kawan.

"Lepas ini tidaklah rasa bosan lagi duduk di rumah kerana dapat main basikal bersama rakan-rakan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid, Datuk Amzah Osman, berkata keseluruhannya pihaknya menerima 45 penyertaan bagi program itu, bermatlamat mencari dan membimbing pelapis muda bagi mengimarahkan institusi masjid pada masa depan.

"Namun, pada hari ini penyerahan basikal dibuat kepada 22 kanak-kanak saja dan bakinya seramai 23 orang lagi akan diserahkan pada fasa kedua.

"Ini disebabkan ada peserta masih belum lengkap program selama 40 hari atau menjalani kuarantin akibat kontak rapat COVID-19," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), Datuk Mohd Arif Yusa.

Amzah optimis, peserta program itu dapat dibentuk menjadi pelapis dalam mengimarahkan masjid kampung itu pada masa depan.

Katanya, bagi tujuan itu pihaknya akan sentiasa membabitkan kanak-kanak terbabit dalam pelbagai program direncanakan masjid termasuk bacaan Yasin.

"Selepas ini kita akan jadikan anak-anak ini sebagai sukarelawan masjid, menganjurkan bengkel kerohanian buat mereka dan memastikan usaha istiqamah subuh berjemaah selama 40 hari ini terus dijadikan amalan.

"Alhamdulillah, saya melihat dan memerhati program ini dari semasa ke semasa, mulanya memang mereka bermain-main.

"Tapi, apabila pengisian dibuat oleh pegawai syarak, mereka kelihatan terpandu dan berdisiplin untuk meneruskannya, malah berubah sikap.

"Saya dapat maklum balas yang amat baik, yang mana ada antara anak-anak ini mula mengajak ibu bapa mereka turut ke masjid bersama-sama untuk berjemaah," katanya lagi.

Kanak-kanak teruja menerima hadiah basikal menerusi Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari anjuran Masjid Nur As-Sa'adah, Kampung Pengkalan Batu. - Foto NSTP
Kanak-kanak teruja menerima hadiah basikal menerusi Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari anjuran Masjid Nur As-Sa'adah, Kampung Pengkalan Batu. - Foto NSTP
Berita Harian X