Ahad, 20 March 2022 | 12:44pm
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - NSTP/ARKIB
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - NSTP/ARKIB

Kaedah pendidikan negara berdasarkan kajian kebolehpasaran graduan

KUALA LUMPUR: Kaedah pendidikan negara dilaksana berdasarkan kajian kebolehpasaran graduan dengan memastikan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai kemahiran setanding dan mendapat permintaan tinggi daripada majikan serta pemain industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata setiap program ditawarkan di IPT tidak direka untuk mengumpulkan kuantiti pelajar semata-mata, sebaliknya ia perlu memenuhi kualiti ditetapkan dalam pasaran kerjaya terkini.

"Setiap program adalah berteraskan kajian pasaran dan ia tidak sekadar melakukan penawaran, sebaliknya dengan tinjauan yang terperinci," katanya kepada BH.

Katanya, sekiranya hasil kajian mendapati graduan kursus tertentu tidak mendapat permintaan tinggi daripada majikan, kursus atau program pengajian itu tidak akan ditawarkan.

"Kita mahu graduan yang menamatkan pengajian bukan saja diterima dalam pasaran kerjaya negara, malah di luar negara. Antara perkara ditekankan kerajaan kini adalah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), yang turut menarik perhatian 250,000 pelajar antarabangsa belajar di Malaysia," katanya.

Beliau menegaskan, sistem pendidikan negara seiring dengan perkembangan negara maju iaitu memberi kebebasan memilih kerjaya dan tidak menghalang jurusan mahu diikuti.

"Kita boleh katakan, ia berdasarkan minat dan cita rasa masing-masing dan mereka bebas memilih bidang kerjaya yang selari dengan keputusan mereka. Mungkin ada sebahagian kecil tidak dapat melanjutkan pengajian dalam jurusan diminati, tetapi ia biasanya disebabkan kelayakan yang sudah ditetapkan institusi berkenaan.

"Malah kita sentiasa menggalakkan semua pihak membuat kajian sebelum membuat keputusan memilih jurusan pengajian, malah kini mereka cukup bertuah kerana akan dibantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti sebelum memilih haluan kerjaya masing-masing," katanya.

Katanya, tumpuan agresif kerajaan terhadap TVET akan memainkan peranan penting dalam perkembangan kerjaya masa depan penduduk kerana TVET bukan lagi kerjaya kelas kedua yang sering dimomokkan sekian lama.

"Kita mempunyai pelbagai agensi untuk memperkasakan TVET seperti Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan kolej komuniti. Ini membuktikan pengajian sedemikian adalah juara pada masa depan kerana ia menjadi pilihan utama kerjaya.

"Majikan sudah mengiktiraf TVET dengan kebolehpasaran graduan, malah laluan kerjaya graduan TVET melebihi 94 peratus, sekali gus membuktikan ia produk yang mendapat permintaan tinggi negara," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Dr Abdul Latif Abu Seman pada Khamis lalu, bahawa kedudukan Malaysia dalam Purata Tahun Persekolahan menggambarkan kalangan pekerja tempatan mempunyai kekurangan dari segi kemahiran sehingga menyebabkan majikan menawarkan gaji yang rendah.

Purata Tahun Persekolahan adalah petunjuk yang biasa digunakan untuk mengukur tahap kemahiran berdasarkan jumlah tahun seseorang pekerja menerima pendidikan.

Abdul Latif dilaporkan berkata, berkata data peringkat nasional dan antarabangsa jelas menunjukkan terdapat hubung kait yang rapat antara bakat berkemahiran dengan produktiviti, kadar upah dan pampasan diterima pekerja dengan kemahiran adalah penting untuk meningkatkan gaji serta produktiviti.

Berita Harian X