Sabtu, 19 March 2022 | 4:57pm
Abdul Kadir (tengah) menunjukkan jerat haiwan liar yang berjaya dirampas pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi. - NSTP/OMAR AHMAD
Abdul Kadir (tengah) menunjukkan jerat haiwan liar yang berjaya dirampas pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi. - NSTP/OMAR AHMAD

Tembak mati haiwan liar langkah terakhir PERHILITAN - Abdul Kadir

KOTA TINGGI: Penggunaan peluru hidup untuk menembak haiwan liar adalah jalan terakhir yang akan diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), kata Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya akan menggunakan perangkap, namun jika tidak berkesan dan memberi ancaman kepada manusia, langkah menembah menggunakan peluru hidup akan diambil.

"Situasi di dalam hutan, langkah terbaik adalah dengan memasang perangkap. Tembak mati langkah terakhir dan ia juga dibenarkan selepas semua aspek diambil kira. Kalau haiwan liar hendak menyerang, kita boleh dan dibenarkan untuk tembak.

"Kita akan lebihkan dengan perangkap dan juga kita bekerjasama dengan penduduk setempat serta dapatkan khidmat nasihat," katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Desaru Coast Resort, di sini hari ini.

Pada 7 Januari lalu, PERHILITAN Kelantan menembak mati seekor harimau belang yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai di Gua Musang.

Abdul Kadir berkata, PERHILITAN memang ada dibekalkan peluru pelali dan peluru hidup untuk menangani isu hidupan liar dengan peluru pelali lebih sesuai digunakan bagi haiwan yang berada di kawasan zoo berbanding haiwan dalam hutan.

Berita Harian X