Sabtu, 19 March 2022 | 3:59pm
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

Utamakan kemaslahatan rakyat sebelum putus adakan PRU-15 - Pakar kesihatan

PUTRAJAYA: Kerajaan diminta mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan COVID-19 dalam negara dan memastikan penularannya benar-benar sudah stabil sebelum membuat sebarang keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berpendapat, tempoh sesuai untuk PRU-15 diadakan adalah seawal tiga bulan selepas kes kembali stabil, namun paling sesuai adalah enam bulan.

Katanya, ada banyak faktor lagi yang perlu diambil kira bagi memastikan kes jangkitan tidak melonjak dengan tiba-tiba dan apabila pilihan raya diadakan, akan berlaku pergerakan serta perkumpulan orang ramai yang mungkin gagal mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sebelum PRU-15 diadakan, kerajaan perlu memastikan tiada peningkatan jangkitan dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak. Selain itu, peratusan kemasukan pesakit COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan alat bantuan pernafasan dan kes kematian juga perlulah rendah," katanya kepada BH.

Katanya, sempadan negara juga akan dibuka mulai 1 April ini yang mendedahkan rakyat kepada penularan jangkitan dari luar dan apabila memasuki fasa endemik, banyak perkara dan peraturan diberi kelonggaran, namun SOP asas seperti pemakaian pelitup muka masih dikekalkan.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh menjadikan negara luar terutama di barat sebagai kayu ukur untuk kelonggaran diberikan berikutan perbezaan situasi, budaya dan keadaan.

"Kebimbangan komuniti kesihatan adalah kes-kes kategori 3 hingga 5 serta kematian. Selain itu, sama ada sistem kesihatan negara bersedia untuk menangani 'long COVID' yang boleh juga dialami pesakit kategori 1 serta 2. Yang terbaik ialah tidak dijangkiti langsung COVID-19.

"Namun, adakah Malaysia bersedia untuk berdepan dengan 'long COVID'. Secara peribadi, ramai tidak tahu bagaimana untuk mengesan keadaan 'long COVID' dan kita memerlukan mekanisme untuk mengesannya. Ketika ini, tidak ada mekanisme dan garis panduan untuk memantau 'long COVID' sebagaimana tatacara menangani jangkitan COVID-19," katanya.

Selain itu, beliau berkata, peningkatan atau penurunan kes didorong oleh sikap manusia yang juga bergantung kepada dasar yang diambil kerajaan.

"Pada masa sama, kajian awal dari luar negara juga menunjukkan imuniti seseorang boleh menurun walaupun sudah mendapatkan dos penggalak. Justeru, ada perbincangan dalam komuniti kesihatan mengenai keperluan mendapatkan dos penggalak tambahan mahupun dos penggalak tahunan," katanya.

Ditanya sama ada PRU-15 sesuai dilaksanakan selepas sambutan Aidilfitri, Dr Sharifa Ezat berkata, dibimbangi kes juga meningkat dengan cepat selepas perayaan itu.

"Kita berharap kerajaan dan pihak terbabit memberi keutamaan kepada kemaslahatan rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Berita Harian X