Sabtu, 19 March 2022 | 3:42pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, menasihati ibu bapa supaya membenarkan anak mereka menerima suntikan vaksin bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. - Foto fail NSTP
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, menasihati ibu bapa supaya membenarkan anak mereka menerima suntikan vaksin bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. - Foto fail NSTP

Kanak-kanak tak divaksin terdedah komplikasi radang

BAGAN SERAI: Kanak-kanak yang tidak divaksin akan lebih terdedah kepada komplikasi sindrom sistem radang berbilang (MIS-C) jika dijangkiti COVID-19, yang boleh menyebabkan keradangan pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata kumpulan kanak-kanak itu dianggap berisiko tinggi, terutama apabila mereka sentiasa berada dalam kalangan dewasa terutama ibu bapa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, berkata kumpulan kanak-kanak ini dianggap berisiko tinggi apabila mereka sentiasa berada dalam kalangan dewasa terutama ibu bapa.

"Peratusan kanak-kanak untuk mendapat gejala termasuk MIS-C adalah rendah jika divaksin. Malah, peratusan kanak-kanak mengalami anafilaksis (reaksi alahan yang teruk) akibat daripada suntikan vaksin jenis Pfizer dan Sinovac juga amat rendah.

"Sebagai contoh, seramai 8.7 juta kanak-kanak di Amerika yang mengambil vaksin, hanya 11 daripadanya mendapat kesan advers susulan imunisasi (AEFI)," katanya kepada media selepas melancarkan Program Pelancongan Domestik Mukim Gunung Semanggol di Dataran Kampung Padang Lalang, di sini, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, menasihatkan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka mendapatkan vaksinasi dalam kadar segera.

Ditanya mengenai kaedah KKM untuk menarik lebih ramai rakyat dan kanak-kanak mendapatkan suntikan, beliau berkata, KKM masih meneruskan program pemberian vaksin seperti biasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), termasuk di sekolah dan secara walk-in.

"Kita masih meneruskan program pemberian vaksin seperti biasa dan Sarawak mencatatkan jumlah vaksinasi yang tertinggi dengan 67.7 peratus , hanya melalui program PPV sekolah.

"Sehingga sekarang, sebanyak 412 PPV walk-in dibuka di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X