Sabtu, 19 March 2022 | 12:23pm
Sebahagian perwakilan Pemuda UMNO hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU). - Foto fail NSTP
Sebahagian perwakilan Pemuda UMNO hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU). - Foto fail NSTP

Pemilihan bakal jejas 60 peratus kekuatan jentera UMNO

KUALA LUMPUR: Kekuatan jentera Pemuda UMNO dijangka terjejas sehingga 60 peratus jika pemilihan parti diadakan ketika ini, sekali gus memberi kesan besar terhadap peluang UMNO untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perwakilan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh, berkata ia berikutan sejumlah 114 Ketua Pemuda UMNO bahagian tidak boleh mempertahankan jawatan masing-masing jika pemilihan parti diadakan akibat kekangan had umur.

Berikutan itu, katanya, kekuatan jentera UMNO bakal terjejas teruk jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15, akibat kehilangan sejumlah besar pemimpin Pemuda yang berpengalaman luas mengangkat kembali parti yang hampir nyawa-nyawa ikan selepas tewas dalam PRU-14 pada 2018.

"Kalau berlaku pemilihan, 114 daripada 190 Ketua Pemuda bahagian tak boleh bertanding mempertahankan jawatan kerana sudah habis umur, belum lagi ambil kira Naib Ketua Pemuda dan ahli jawatankuasa Pemuda bahagian.

"Ini adalah pasukan yang dibina sejak 2018 dan penuh dengan pengalaman serta latihan, yang kekuatannya terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Akhirnya, apabila ada pemilihan, kita kehilangan hampir 60 peratus (kekuatan), lumpuh jentera Pemuda.

"Bukan nak kata kalau ada pemilihan, orang yang baru tak bagus.

Tetapi kita terpaksa latih sekali lagi. Adakah kita mempunyai masa untuk melatih sekali lagi mereka menjadi jentera parti (sebelum PRU-15)?," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Akmal, yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka, memaklumkan Pemuda UMNO mengusulkan supaya perlembagaan parti itu dipinda untuk menetapkan supaya pemilihan diadakan selepas PRU.

Tegasnya, pemilihan parti berisiko mencetuskan perpecahan dan pergaduhan dalam kalangan ahli dan pemimpin, sekali gus melemahkan kekuatan UMNO untuk berdepan PRU-15, jika pemilihan itu diadakan sebelum pilihan raya.

"Mana mungkin boleh menang dengan parti kita yang lemah akibat kita bergaduh sesama sendiri sebelum PRU. Kalau MCA dan parti di Sarawak sudah boleh buat dan usulkan supaya pemilihan parti mereka diadakan selepas pilihan raya, kenapa kita tak boleh," katanya.

Berita Harian X