Sabtu, 19 March 2022 | 12:17pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-45 Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-45 Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Sultan Selangor mahu graduan sanjung perlembagaan, undang-undang negara

SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan graduan universiti agar menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara.

Titah baginda, sikap sedemikian akan menjadikan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab serta berintegriti tinggi.

"Graduan perlu menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara, sekali gus menjadi warganegara yang bertanggungjawab serta berintegriti tinggi," titah Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-45 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Baginda yang juga Canselor UPM menggesa graduan universiti berkenaan untuk meneruskan hubungan baik dengan 'alma mater' UPM sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan institusi pengajian yang membantu mencapai kejayaan mereka.

Selain menyumbang kepada pembangunan pelajar UPM, titah Sultan Selangor, graduan juga boleh membantu universiti untuk berada pada landasan betul bagi membina generasi berilmu dan berwawasan, sekali gus bersama-sama membawa UPM ke mercu kejayaan.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan universiti dan warga UPM atas kejayaan berada di tangga 143 dalam penarafan 'QS World University Ranking' 2022, lonjakan sebanyak 233 anak tangga yang amat bermakna jika dibandingkan kedudukan UPM pada tangga 376 pada 2015.

"Di samping itu, UPM terus mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan ke-27 ranking terbaik dunia dalam penarafan 'UI-GreenMetric World University Ranking' 2021 berdasarkan usaha penjagaan kampus hijau dan pengurusan alam sekitarnya.

"Tahun ini, UPM telah dilantik sebagai tuan rumah 'The 7th International Workshop on UI-GreenMetric World University Rankings' 2021," titah baginda yakin graduan UPM adalah unggul dan berkualiti tinggi kerana dibimbing pensyarah berintegriti melalui sistem akademik yang bertambah baik.

Sultan Selangor menegaskan, adalah tidak munasabah jika ada pihak meragui kualiti graduan UPM hanya semata-mata bersandarkan jumlah graduan yang dihasilkan kerana universiti itu sentiasa memastikan semua graduannya berkualiti sebagaimana yang telah ditetapkan.

Majlis konvokesyen UPM ke-45 sehingga Khamis ini menyaksikan 6,142 graduan menerima ijazah masing-masing termasuk bagi program sulung Ijazah Sarjana Kewangan kepada 10 graduan. Selain itu, 484 menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana dan sarjana muda (5,175) dan diploma (483) merangkumi pelbagai bidang pengajian.

Baginda berkenan mengurniakan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada pelajar Bacelor Kejuruteraan Awam Dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan, Iskandar Zulkarnain Adamulhasza dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Eddy Irwan Sidek (Bacelor Pendidikan Sains Pertanian).

Selain itu, Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputra) kepada N Vaishnavi (Bacelor Sains Matematik Dengan Kepujian) dan Pingat Emas Alumni kepada Siti Nursyamisa Masmos (Bacelor Sains, Pembangunan Sumber Manusia).

Berita Harian X