Jumaat, 18 March 2022 | 3:27pm
Dari kiri, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dari kiri, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dahulukan PRU jika bertembung pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum (PRU) perlu didahulukan jika bertembung dengan pemilihan UMNO pada tahun sama dengan penilaian mengembalikan mandat memilih kerajaan kepada rakyat itu harus dibuat berdasarkan keuntungan kepada parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata penilaian untuk mengadakan pilihan raya juga harus mengambil kira prestasi wakil parti yang berada dalam Kabinet.

"Selalunya penilaian dibuat berdasarkan apa yang memberi keuntungan kepada parti. Kalau dikatakan tempoh pilihan raya dengan tempoh pemilihan parti berada saling bersaingan, perlu didahulukan pilihan raya. Biar seiring atau keseiringan parti dan kerajaan kerana kali ini diperintah Perdana Menteri orang UMNO.

"Beliau (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) membawa perjalanan yang bermula bagaimana parti kita dari 2018 menjadi pembangkang dan takdirnya kita masuk sebagai sebahagian kerajaan. Kalau menteri UMNO buat kerja dengan elok, menjadi penyelesaian kepada rakyat, nama baiknya adalah Perdana Menteri yang datang daripada UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, di sini, hari ini.

Reezal Merican menegaskan, keputusan mengenai pembubaran Parlimen perlu mengikut proses yang sepatutnya, dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, seperti kuasa yang diperuntukkan kepada baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Ketua UMNO Sembrong yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pula berkata presiden menegaskan bahawa kerajaan dan parti perlu seiring dan senada bagi memastikan kelangsugan perjuangan, terutama menjelang PRU-15.

"Presiden menekankan, cukup-cukuplah menuding jari sesama kita. Penting untuk kita rapatkan barisan dan bergerak yang akan dilihat rakyat ketika berdepan PRU nanti," katanya turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menteri daripada UMNO tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

"Ini juga membabitkan diri saya sendiri sebagai menteri. Kalau menteri tidak menunjukkan prestasi yang baik, saya rasa kejayaan parti di Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mencapai keputusan membanggakan kerana ia bersandar kepada kejayaan serta prestasi kita dalam kerajaan," katanya.

Mengenai PRU-15, beliau menegaskan, semua ahli UMNO perlu menunggu pendirian parti yang akan dipanjangkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk memutuskannya.

"Jangan membelakangkan hak membubar Parlimen yang berada dalam tangan Yang di-Pertuan Agong. Pada masa sama, apa saja keputusan baginda datang bersama nasihat Perdana Menteri. Jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh.

"Kita bertindak berlebihan dan terlanjur untuk memastikan sesuatu, kita sendiri tidak tahu kedudukan masing-masing, parti, Perdana Menteri serta kuasa menentukan PRU di tangan Tuanku," katanya.

Ketua UMNO Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berpendapat UMNO tidak boleh membuat keputusan secara bersendiri mengenai PRU-15 kerana berada dalam kerajaan yang mempunyai gabungan dengan parti lain.

"Apa yang penting, soal pembubaran Parlimen ini adalah satu daripada tiga perkara yang menjadi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi, apa juga yang mahu dibincangkan tidak boleh mendahului kuasa baginda. Ada sesetengah orang tidak faham, ingat semuanya kuasa Perdana Menteri.

"Soal pembubaran Parlimen perlu dibincang secara tertib dan saya nampak, Presiden cukup cermat dalam ucapannya tadi, yang mengatakan perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukannya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin pula menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahmad Zahid kerana merintis jalan 'penyatuan' di antara pemimpin dalam parti dan kerajaan.

"Perkara penting yang disentuh dalam ucapannya adalah usaha untuk menyatukan dan membawa suasana harmoni dalam parti, sebab sebelum ini wujud persepsi kononnya ada kabilah itu dan kabilah ini.

"Kekuatan UMNO selalunya datang apabila kita bersatu dan kita menjadi ketumbukan politik yang hebat. Ini satu ucapan yang mempromosikan semangat keharmonian dalam parti, antara pemimpin parti dan pemimpin UMNO dalam kerajaan," katanya.

Berita Harian X