Jumaat, 18 March 2022 | 11:36am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Promosi pelaburan Selangor di Dubai rekod pelaburan berpotensi RM960.7 juta

SHAH ALAM: Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung pada 6 hingga 12 Mac lalu berjaya merekodkan nilai pelaburan berpotensi berjumlah RM960.7 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, sebanyak 158 padanan perniagaan serta 92 potensi kerjasama perniagaan direkodkan dalam tempoh seminggu itu.

"Program Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung dari 6 hingga 12 Mac lalu berjaya menarik minat ahli-ahli perniagaan serta pelabur antarabangsa dengan mengambil peluang untuk bertemu dengan ahli-ahli delegasi dan menyatakan hasrat untuk melebarkan pelaburan dan perniagaan di negeri Selangor.

"Pencapaian Minggu Selangor adalah nilai pelaburan berpotensi RM960.7 juta; 158 padanan perniagaan serta 92 potensi perniagaan.

"Antara sektor terbabit adalah pergudangan; perkhidmatan perundingan pengurusan; perkhidmatan perundingan kewangan; komunikasi dan multimedia; pengangkutan; logistik dan mobiliti; pendidikan; minyak dan gas; pengurusan hartanah; keusahawanan; pengurusan sumber manusia; teknologi pertanian; telekomunikasi serta kesihatan," katanya.

Chang Khim menjawab pertanyaan Rozana Zainal Abidin (PH-Permatang) mengenai World Expo Dubai di Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, sepanjang pelaksanaan Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai, beberapa program dirancang antaranya Investment Talk oleh Invest Selangor, sesi perkongsian oleh ahli-ahli delegasi, lawatan ke syarikat-syarikat yang berpangkalan di Dubai , UAE serta program padanan perniagaan.

"Dengan promosi yang sudah dilaksanakan sebelum Minggu Selangor diadakan, jumlah pengunjung mingguan ke Pavilion Malaysia pada Minggu Selangor merekodkan 68,518 pengunjung iaitu jumlah tertinggi direkodkan setakat ini (berdasarkan rekod dari Urusetia Pavilion Malaysia iaitu Malaysia Green Technology Corporation) sepanjang Ekspo 2020 Dubai ini berlangsung sejak Oktober 2021 lalu.

"Minggu Selangor juga berjaya mencapai sasaran mingguan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan dengan jumlah nilai perdagangan dan pelaburan sebanyak RM500 juta bagi setiap minggu yang dihoskan," katanya.

Minggu Selangor diselaraskan oleh pihak Invest Selangor turut dihadiri oleh 16 agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta swasta untuk meneroka peluang-peluang pelaburan dan perniagaan di negara UAE dan negara-negara GCC serta negara Eropah.

Berita Harian X