Jumaat, 18 March 2022 | 11:07am

Calon BN tanding PRU diikat perjanjian

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memastikan semua calon yang bakal bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, menandatangani perjanjian bagi mengelak mereka melompat parti.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN akan memastikan mana-mana calon yang melompat selepas memenangi pilihan raya, perlu membayar dengan harga yang mahal.

"Itulah sebabnya kita proaktif mewujudkan perjanjian dengan semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat, kita pastikan mereka membayar dengan harga yang mahal. Kita tidak mahu siri lompat melompat berterusan selepas ini.

"Kita akan melakukan perjanjian sama kepada semua calon yang akan bertanding dalam PRU akan datang. Jangan main-main, ini bukan soal wang ringgit tetapi soal maruah apabila menjadi calon-calon BN, tidak ada istilah melompat selepas menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan 'tebuk atap' atau 'kerajaan pintu belakang' tidak perlu dikaitkan dengan UMNO kerana ia tidak pernah berbuat demikian.

"Sampah sarap begini tidak harus dipalitkan kepada UMNO. Kita ada prinsip. Kita ada maruah. Kita ada kekuatan. Kita tidak boleh diugut dengan 'tekan butang di sana dan tekan butang di sini'.

"UMNO bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki. UMNO dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka. Tabur wang sana-sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan. Tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain.

"Rakyat bukan buta dan pekak, yang boleh diperdaya dengan mudah. Itu tanda mereka yang sebenarnya gila kuasa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, ahli UMNO diikat tradisi menghormati keputusan parti termasuk bagi pemilihan parti diadakan selepas PRU.

Katanya, sebanyak 186 bahagian daripada 190 bahagian yang telah bermesyuarat dan bersetuju dengan ketetapan itu.

"Ini bukan keputusan saya. Ini keputusan Mesyuarat Perwakilan di Bahagian masing-masing.

"Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan. Adakah wajar kita mengubah tradisi ini?

"Adakah jawatan dalam parti lebih penting tapi kira kalah dalam PRU. Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stokin," katanya.

Beliau berkata, UMNO sudah menetapkan pemilihan parti diadakan akhir tahun ini iaitu sebelum 29 Disember.

Katanya, semua jawatan boleh ditandingi termasuk peringkat presiden UMNO.

Perwakilan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO mengibarkan bendera BN pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Perwakilan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO mengibarkan bendera BN pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Berita Harian X