Jumaat, 18 March 2022 | 9:50am

Pemberian vaksin di Malaysia cecah 68,376,641

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,221,990 individu berusia lima hingga 11 tahun sudah mengambil sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, jumlah berkenaan adalah 34.4 peratus daripada populasi kanak-kanak di negara ini.

Jumlah pemberian imunisasi itu terus meningkat dan setakat semalam sebanyak 11, 739 dos diberikan. Pemberian pelalian kepada kanak-kanak itu diberikan dalam Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) yang diperkenalkan sejak 3 Februari lalu.

Sementara itu, menerusi data yang dikongsi dalam COVIDNOW, sehingga kini seramai 15,425,524 individu berusia 18 tahun ke atas sudah mendapatkan dos penggalak. Jumlah berkenaan meliputi sejumlah 65.6 peratus populasi dewasa di negara ini.

Selain itu, seramai 23,216,630 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dengan 23,216,630 individu pula sudah lengkap mendapatkan dua dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, setakat ini sebanyak 5,781,815 dos sudah diberikan, jumlah itu membabitkan 2,940,403 dos pertama dengan 2,841,412 dos lagi adalah untuk dos kedua.

Jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 68,376,641.

Dalam pada itu, mengenai kes kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan semalam, sebanyak 86 kes direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan angka korban kini meningkat kepada 34,185 kes.

Daripada jumlah itu, terdapat sejumlah 35 kes kematian diluar fasiliti kesihatan (BID), sekaligus menjadikan jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan diberikan adalah sebanyak 7,163 kes.

Memperincikan mengenai kes kematian yang dilaporkan semalam, negeri paling tinggi yang mencatatkan kematian ialah Perak dengan 16 kes, diikuti Selangor (14) dan Kedah (10).

Selain itu, negeri lain yang mencatatkan kes kematian ialah Melaka dengan lapan kes, Johor (7), masing-masing enam kes di Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu, Negeri Sembilan (4) serta Kuala Lumpur (1).

Bagi kes BID, sebanyak enam kes masing-masing dilaporkan di Kelantan serta Selangor, Sabah (5), Perak (4) masing-masing tiga kes BDI di Terengganu dan Kedah, dua kes masing-masing di Johor, Melaka dan Pulau Pinang serta satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Jumlah pemberian imunisasi dalam kalangan populasi di Malaysia terus meningkat. - Foto hiasan NSTP
Jumlah pemberian imunisasi dalam kalangan populasi di Malaysia terus meningkat. - Foto hiasan NSTP
Berita Harian X