KUANTAN: Tiada ungkapan mampu dilafazkan sepasang suami isteri tatkala menerima ijazah secara 'anumerta' mewakili Allahyarham anak mereka pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-15 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Pazilah Haron, 54, dan Tahar Suhaimi Mohd Shariff, 54, mewakili Allahyarham Muhammad Amirul Muizz, 24, yang maut dalam kemalangan jalan raya pada 9 Februari 2020 ketika dalam perjalanan ke Bukit Goh, di sini untuk menjalani latihan industri.
Allahyarham bekas penuntut Fakulti Pengurusan Industri UMP yang juga pelajar tahun akhir dan bakal menamatkan pengajian selepas menjalani latihan industri. Lebih memilukan, nahas terbabit disaksikan kedua ibu bapanya yang dalam perjalanan menghantar barang keperluan ke rumah sewa anak mereka itu.
Pazilah berkata, mereka dalam perjalanan dari Bera ke Kuantan mengiringi Allahyarham ke rumah sewa bagi memulakan sesi latihan industri di sebuah industri di Bukit Goh.
"Seperti biasa, apabila arwah pulang ke kampus dengan motosikal, saya dan suami akan mengekorinya sehingga ke Kuantan. Rupa-rupanya waktu itu adalah saat akhir kami dapat bersamanya, siapa sangka tidak sampai 15 minit lagi untuk sampai ke rumah sewa di Kuantan, Allahyarham terbabit kemalangan.
"Lebih menyayat hati, kejadian itu di depan mata kami sendiri. Masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya yang Allahyarham berhasrat untuk memakai pakaian segak ketika hari konvokesyennya dan bergambar di sekitar UMP Pekan dan Gambang," katanya.
Sementara itu, Tahar Suhaimi berkata, semuanya hanya tinggal kenangan dan mengucapkan jutaan terima kasih atas jemputan UMP untuk menerima ijazah yang sangat diidamkan anaknya.
Pasangan itu menerima anugerah anumerta disampaikan Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di dalam kamar dewan. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin.
"Harapan saya adalah supaya anak bongsu kami, Muhammad Adam Mukhriz, 19, yang kini menuntut di Institut Kemahiran MARA di Pekan mengikut jejak langkah Allahyarham abangnya yang menyambung pengajian di UMP.
"Sejak Allahyarham meninggal dunia, UMP sering hubungi kami, urus segala keperluan berkaitan akademik termasuk bersetuju untuk menamatkan pengajiannya dengan mengurniakan ijazah ini. Ini amat menggembirakan kami sekeluarga kerana hasrat Allahyarham untuk membahagiakan kami tercapai," kata Tahar Suhaimi.