Khamis, 17 March 2022 | 7:46pm
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

207 sampel produk hasilan daging, sosej patuhi tahap nitrit - KKM

PUTRAJAYA: Kesemua 207 sampel produk hasilan daging, termasuk sosej yang diambil daripada pasaran tempatan dan pintu masuk negara untuk dianalisis oleh Kementerian Kesihatan (KKM), didapati mematuhi tahap ditetapkan bagi kandungan nitrit.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Mohd Salim Dulatti, berkata sampel terbabit diambil untuk dianalisis selepas kementerian mengambil maklum laporan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand mengenai produk sosej yang diuji mengandungi nitrit melebihi paras dibenarkan oleh agensi berkenaan.

Katanya, FDA Thailand melakukan ujian berkenaan setelah 14 kanak-kanak di negara itu mengalami methemoglobinemia, iaitu sejenis penyakit gangguan darah, selepas makan sosej terbabit.

Di Malaysia, beliau berkata, produk hasilan daging seperti sosej boleh mengandungi nitrit pada paras tidak melebihi 80mg/kg selaras standard antarabangsa Codex.

"Hasil analisis yang dijalankan, kesemua sampel sosej didapati mematuhi tahap ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun, beliau berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) KKM sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Kedutaan Thailand berkenaan produk sosej yang terbabit.

Nitrit merupakan bahan pengawet makanan yang sering digunakan dalam produk hasilan daging bagi merencatkan pertumbuhan bakteria, di samping menyerlahkan warna makanan.

Bagaimanapun, pengambilan nitrit pada kadar berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu cepat merasa letih dan penat, sukar bernafas, pening dan sakit kepala, berdebar-debar serta kelihatan pucat.

Mohd Salim berkata, KKM akan meneruskan pemantauan keselamatan makanan dalam pasaran tempatan serta pintu masuk negara agar mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya. – BERNAMA

Berita Harian X