Khamis, 17 March 2022 | 5:42pm
Jurucakap Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi. Foto UMNO Online
Jurucakap Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi. Foto UMNO Online

'Henti desak kepimpinan UMNO putuskan tarikh PRU-15'

KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda UMNO menggesa ahli dan pemimpin akar umbi parti itu tidak mendesak kepimpinan tertinggi memutuskan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jurucakap Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi, berkata perkara itu perlu diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentukan tempoh masa sesuai diadakan PRU-15.

"Kita fokus perkemas jentera di bawah saja, jangan bergaduh soal bila PRU akan diadakan. Biarlah MKT dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bincang untuk menentukan tarikh PRU-15.

"Kita bagi mereka mandat sepenuhnya, tak guna kita bergaduh, tetapi kita tak fokus untuk kemaskan jentera di bawah," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan ahli dan pemimpin akar umbi menghentikan sebarang percaturan berkenaan soal pemilihan parti, kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan parti berpecah belah.

Sementara itu, jurucakap Pemuda Kedah, Hayazi Azizan mahu supaya PRU-15 diadakan sebelum pemilihan parti.

"Sekarang, beri masa sesuai kepada Jemaah Menteri dan Perdana Menteri. Soal PRU-15, soal pemilihan ini, seeloknya saya mahu PRU-15 dulu, barulah diadakan pemilihan parti.

"Kita ada perwira dan hulubalang (MKT), biar mereka yang mencatur dan jika seboleh-bolehnya kita adakan dulu PRU-15, barulah pemilihan parti," katanya.

Menjelang PRU-15 kelak, beliau juga mahu lebih ramai anak muda ditampilkan sebagai calon pilihan raya, bagi membuktikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO serius kepada peremajaan parti.

"Pemimpin terdahulu sering bercakap soal peremajaan parti dari 2013 sampailah sekarang dan dibawa dalam PAU, tetapi tidak berbuat apa pun.

"Sekarang kita mula nampak anak muda sudah diangkat. Bos (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) kena ingatkan depa (mereka) jangan asyik perangat (panaskan) lauk lama saja, rakyat dan pengundi nak lauk yang baharu juga," katanya.

Berita Harian X