Khamis, 17 March 2022 | 4:28pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Rayuan Najib dapatkan dokumen bank didengar 10 Mei

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan dokumen didakwa mempunyai kaitan dengan pembelaannya dalam perbicaraan kes membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dijadualkan semula kepada 10 Mei ini.

Tarikh itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, mewakili pihak pendakwaan, manakala Nur Syahirah Hanapiah, mewakili bekas perdana menteri menghadiri prosiding pengurusan kes itu.

"Mahkamah menetapkan pendengaran pada 10 Mei. Penghujahan telah difailkan oleh pihak-pihak," kata Mohamad Mustaffa kepada media.

Pendengaran rayuan itu pada mulanya ditetapkan pada 16 Mac (semalam) tetapi tidak dijalankan.

Pada 12 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen melibatkan bank pelaburan Amerika Syarikat Goldman Sachs, ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada 24 Mac tahun lepas, Najib memfailkan notis usul memohon perintah mahkamah bagi pihak pendakwaan mengemukakan beberapa pernyataan perbankan daripada syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd, yang dipercayai ada kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDB yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu, bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik terhadap telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Sequerah. – BERNAMA

Berita Harian X