Khamis, 17 March 2022 | 3:40pm

MPAJ sambung kerja pembersihan cerun runtuh

AMPANG JAYA: Kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuhan di Taman Bukit Permai 2 di sini, yang sudah dimulakan sejak semalam, disambung hari ini bermula jam 10 pagi.

Tinjauan mendapati, sebuah jentera jengkaut digunakan untuk mengalihkan timbunan tanah sebelum diangkut keluar oleh beberapa lori tanah yang berulang alik ke kawasan itu.

Sejak semalam, kerja permbersihan awal oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu menumpukan untuk mengalihkan tanah runtuhan yang menimbusi ruang hadapan sederet empat rumah di Jalan Teratai 1/2J.

Difahamkan, fokus seterusnya adalah untuk mengeluarkan 10 kenderaan penduduk di situ yang terjejas termasuk sebahagiannya ditimbusi tanah runtuhan sebelum kerja pembersihan secara keseluruhan dilaksanakan.

Ahli Majlis MPAJ Zon 23, Mohammad Saat yang ditemui di lokasi, hari ini menjelaskan secara keseluruhan sebanyak 14 rumah yang terjejas akibat runtuhan perlu dibersihkan daripada tanah runtuhan.

"Empat rumah sudah selesai dibersihkan sejak kerja pembersihan dimulakan, semalam sebelum proses disambung hari ini.

"Terdapat 10 lagi rumah di deret kiri dan kanan laluan Jalan Teratai 1/2J yang perlu dibersihkan dan tugas dimulakan sekitar jam 10 pagi sehingga jam 4 atau 5 petang bergantung kepada cuaca dan trafik," katanya.

Tambahnya, kerja pembersihan berjalan agak perlahan kerana perlu dilakukan secara berhati-hati kerana pada masa sama perlu memantau sama ada berlaku sebarang pergerakan tanah di bahagian atas cerun yang runtuh.

"Kerja pembersihan akan dihentikan sekiranya terdapat sebarang pergerakan tanah dikesan, yang mana keadaan itu dipantau oleh pasukan teknikal.

"Selain itu, kita perlu memastikan penduduk di sini serta kawasan berhampiran tidak terlalu terganggu dengan lori tanah yang keluar masuk selain mengelak proses itu dibuat ketika keadaan trafik sesak," katanya.

Sementara itu, katanya sebaik kerja pembersihan di 10 lagi rumah penduduk yang agak serius terjejas siap kelak, semakan teknikal akan dijalankan terlebih dahulu untuk memastikan ia selamat didiami.

"Struktur bangunan, pendawaian elektrik dan tahap keselamatan bangunan akan disemak oleh pasukan teknikal terdiri dari Jabatan Bangunan MPAJ dibantu Cawangan Kejuruteraan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Selain itu, kita difahamkan hari ini data kajian tanah di lokasi akan dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Galian (JMG) bersama pihak JKR dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk memutuskan jenis teknologi dan bentuk pengukuhan cerun di sini," katanya.

Kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuhan di Taman Bukit Permai 2. - Foto NST Faris Iswadi Ismail
Kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuhan di Taman Bukit Permai 2. - Foto NST Faris Iswadi Ismail
Berita Harian X