Khamis, 17 March 2022 | 10:38am
Foto hiasan
Foto hiasan

Penumpuan angin di Sarawak dijangka sehingga esok

KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran penumpuan angin di kawasan tengah Sarawak yang dijangka sehingga esok.

Menurut METMalaysia dalam satu kenyataan, hari ini, ramalan itu adalah berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).

"Keadaan ini berpotensi menyebabkan ribut petir lebih menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang di bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah dan Bintulu dalam tempoh itu.

"Bagaimanapun, hujan dan ribut petir juga dijangka boleh berlaku pada sebelah pagi di Pantai Barat Semenanjung dan pada sebelah petang di kawasan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah," katanya.

Pada masa sama, METMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Pahang (Pekan dan Rompin) sehingga jam 11.00 pagi, hari ini.

Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web: www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Berita Harian X