Rabu, 16 March 2022 | 2:44pm
Najib hadir bagi mendengar rayuannya berkaitan bukti baharu yang ingin dikemukakannya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Najib hadir bagi mendengar rayuannya berkaitan bukti baharu yang ingin dikemukakannya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Rayuan Najib untuk memasukkan bukti baharu ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu menerusi rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Keterangan baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya, adalah membabitkan dakwaan bahawa bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya, bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Panel lima hakim mahkamah persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan Najib selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit dan tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

Turut sama bersidang dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Tengku Maimun yang membacakan penghakiman, berkata penerimaan bukti baharu adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah dan panel berpuas hati bahawa mahkamah rayuan melaksanakan budi bicaranya mengikut prinsip undang-undang dan tidak terkhilaf dalam penghakimannya.

Beliau berkata, rayuan itu tidak memenuhi peruntukan Seksyen 64 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 iaitu ia mestilah bukti yang tidak ditimbulkan ketika perbicaraan kes dan ia hendaklah relevan serta boleh dipercayai.

"Kami mendapati bahawa keperluan yang dinyatakan tidak dipenuhi dalam kes ini. Kami tidak melihat bagaimana ia relevan kerana dakwaan berhubung bukti itu adalah berkaitan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang belum selesai dan bukannya kes ini.

"Kami tidak bersetuju dengan perayu bahawa persoalan sama ada bukti itu relevan mesti dinilai berdasarkan 'isu' sahaja tanpa mengambil kira pertuduhan. Pada pandangan kami, isu dalam kes tertentu adalah berkait rapat dengan pertuduhan," katanya.

Tengku Maimun berkata, isu dalam kes jenayah secara analoginya adalah berkaitan dengan pertuduhan dan unsur pertuduhan iaitu "pengetahuan" perayu (Najib) berhubung jumlah wang RM42 juta dan panel gagal melihat bagaimana bukti itu adalah berkaitan dengan isu "pengetahuan".

"Kami bersetuju dengan timbalan pendakwa raya bahawa permohonan memasukkan bukti baharu itu terlalu luas dan gagal untuk menyatakan dengan spesifik jenis bukti yang akan dikemukakan.

"Sebenarnya, afidavit sokongan dan afidavit lanjutan bagi menyokong usul itu tidak menyatakan rasional untuk memanggil saksi ini atau fakta apa sebenarnya yang akan dikemukakan saksi dalam keterangan mereka

"Kami juga mendapati saksi ini sebenarnya ditawarkan oleh pendakwaan (responden) bagi ditemubual atau dipanggil sebagai saksi pembelaan, bagaimanapun perayu enggan melaksanakan pilihan itu," katanya.

Pada 7 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak permohonan Najib memasukkan bukti baharu selepas mendapati beliau gagal menunjukkan wujud keadaan luar biasa yang membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan.

Sehari selepas itu, panel sama menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana SRC International.

Berhubung isu hak Najib untuk didengar dinafikan oleh Mahkamah Rayuan, Tengku Maimun berkata, selepas meneliti nota dan rakaman prosiding, ia mendapati pihak pembelaan tidak diprejudiskan kerana diberikan masa secukupnya untuk berhujah

Menyentuh mengenai permohonan pembelaan untuk menangguhkan pendengaran bagi memasukkan bukti baharu, hakim itu menegaskan bahawa kuasa untuk memberikan penangguhan adalah bergantung kepada budi bicara mahkamah.

Katanya, permohonan itu difailkan pasukan pembelaan pada saat-saat akhir iaitu pada 2 Disember 2021 sedangkan tarikh keputusan pada 8 Disember 2021 sudah dimaklumkan kepada pihak terbabit pada 22 November 2021.

"Walaupun kami bersimpati dengan beberapa ahli pasukan pembelaan dijangkiti COVID-19, Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964 diluluskan bagi membolehkan prosiding dijalankan secara maya untuk menangani isu sebegini.

"Sebarang masalah berkaitan akses kepada dokumen boleh diselesaikan menggunakan teknologi dan perlu diingatkan sekali lagi bahawa pihak perayu yang memfailkan permohonan di saat-saat akhir," katanya.

Berita Harian X