Selasa, 15 March 2022 | 8:10pm
Pekerja menutup kesan runtuhan dengan kanvas untuk mengurangkan hakisan berikutan hujan yang kerap pada sebelah petang di Bukit Permai 2, Ampang. - Foto NSTP/Fathil Asri
Pekerja menutup kesan runtuhan dengan kanvas untuk mengurangkan hakisan berikutan hujan yang kerap pada sebelah petang di Bukit Permai 2, Ampang. - Foto NSTP/Fathil Asri

Masih ada pergerakan tanah tapi tak bahaya

AMPANG JAYA: Sembilan alat pengesan yang dipasang di cerun bukit yang runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, mengesan berlaku pergerakan tanah selepas hujan lebat di kawasan itu petang semalam.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman, berkata pemantauan sembilan unit alat pengesan dipuncak runtuhan cerun menunjukkan trend pergerakan ke arah kawasan runtuhan selepas hujan lebat pada jam 5 petang, semalam,

"Empat sensor (alat pengesan) merekodkan bacaan hingga 1 milimeter (mm). Bagaimanapun, tidak mencapai tahap bahaya. Kerja-kerja penyiasatan tanah sudah dimulakan termasuk menggunakan ujian Mackintosh Probe dan Borehole (BH) di puncak dan kaki cerun.

"Keputusan penyiasatan tanah akan digunakan untuk perancangan, rekabentuk dan penentuan skop kerja-kerja pembersihan, pembaikan sementara dan pembaikan kekal," katanya kepada BH, hari ini.

Kesan runtuhan di Bukit Permai 2, Ampang. - Foto NSTP/Fathil Asri
Kesan runtuhan di Bukit Permai 2, Ampang. - Foto NSTP/Fathil Asri

Jelasnya, walaupun dapatan bacaan data oleh alat pengesan tidak mencapai tahap bahaya, kawasan yang terjejas masih berisiko tinggi.

"Pada masa ini kerja pemasangan kanvas dan pemotongan pokok yang jatuh sedang dilaksanakan di kawasan puncak hingga ke kaki runtuhan.

"Kerja-kerja pembersihan dijangka bermula esok dan dilaksanakan di kawasan bawah terlebih dahulu untuk membuka jalan dan menstabilkan kawasan runtuhan," katanya.

Semalam, BH melaporkan 10 alat pengesan pergerakan tanah dipasang sejak Jumaat lalu di puncak cerun bukit yang runtuh namun satu daripada jatuh semasa berlaku runtuhan susulan di lokasi berkenaan, kelmarin.

Berikutan kejadian pada jam 7.10 malam itu, penghuni sederet 15 buah rumah di Jalan Bukit Permai 1, Taman Bukit Permai diarahkan berpindah dan mengosongkan kediaman masing-masing atas faktor keselamatan pada malam kejadian.

Mohamad Zulkefly dipetik berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama agensi lain iaitu Pejabat Daerah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melaksanakan kajian di lokasi runtuhan cerun sejak Jumaat lalu.

Berita Harian X