Selasa, 15 March 2022 | 7:22pm
Datuk Seri Najib Razak (tengah) hadir bagi mendengar rayuannya berkaitan bukti dan keterangan baharu yang ingin dikemukakan dalam kes membabitkan penyelerewengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini. - BERNAMA
Datuk Seri Najib Razak (tengah) hadir bagi mendengar rayuannya berkaitan bukti dan keterangan baharu yang ingin dikemukakan dalam kes membabitkan penyelerewengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini. - BERNAMA

Zeti sudah ditawarkan sebagai saksi kepada pembelaan

PUTRAJAYA: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sudah ditawarkan sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), Mahkamah Persekutuan diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram dalam hujahannya terhadap permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC, berkata Najib bukan saja tidak memanggil Zeti sebagai saksi, malah tidak mengambil peluang untuk menemubualnya.

Sithambaram berkata, pihak pembelaan mempunyai peluang untuk menemubual atau jika perlu, memanggil Zeti sebagai saksi pembelaan kerana mereka membangkitkan mengenai peranan bank pusat ketika kes pendakwaan.

"Peguam perayu (Najib) sering menyoal saksi pendakwaan mengenai pengetahuan Tan Sri Zeti berhubung transaksi membabitkan derma Arab yang dimasukkan ke dalam akaun perayu, bagaimanapun walaupun (Zeti) ditawarkan sebagai saksi, perayu memilih untuk tidak menemubual atau memanggilnya sebagai saksi.

"Perayu boleh memilih untuk bersemuka dengan Tan Sri Zeti mengenai tindakan yang tidak diambil oleh Bank Negara mengenai kemasukan wang yang besar ke dalam akaun perayu tetapi tidak berbuat demikian

"Semua bukti relevan berkaitan peranan Zeti berkaitan pertuduhan adalah dalam pengetahuan perayu ketika perbicaraan. Kegagalan pembelaan untuk berbuat demikian dengan secara sendirinya menyebabkan permohonan ini gagal dipertahankan," katanya.

Sithambaram menegaskan, keterangan saksi itu sudah pun tersedia kepada pembelaan ketika perbicaraan, oleh itu permohonan untuk memasukkan bukti baharu itu dengan sendirinya gagal.

Najib memohon untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC dengan mendakwa Zeti dan keluarganya bekerjasama dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Berhubung peranan keluarga Zeti, Najib mendakwa, Iron Rhapsody Ltd (syarikat dikaitkan dengan suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman dan dua anak lelaki mereka), menerima wang daripada Acme Time Ltd, yang didakwa dimiliki Jho Low yang juga pemain utama dalam skandal 1MDB.

Sementara itu, Sithambaram berhujah bahawa tiada bukti yang mengaitkan antara wang yang diterima Tawfiq dan dua anak lelakinya daripada 1MDB pada 2009 dan wang SRC dalam akaun bank Najib.

Beliau berkata, bukti kumulatif yang didakwa pihak pembelaan juga menunjukkan garis masa transaksi wang membabitkan Iron Rhapsody yang mendahului pertuduhan terhadap Najib selama dua hingga lima tahun.

"Ia juga berlaku sebelum wujudnya penubuhan SRC yang diperbadankan pada 2010. Keuntungan yang diterima oleh Tawfiq Ayman, Alif Ayman dan Abdul Aziz pada 2008 dan 2009, sedangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap perayu membabitkan kesalahan yang dilakukan di antara 2011 dan 2015.

"Wang yang diterima oleh Tawfiq dan anak-anaknya tiada kaitan dengan SRC atau tujuannya dan skim untuk memindahkan wang daripada anak syarikat 1MDB. Keseluruhan bukti kumulatif, jika dibuktikan, adalah kesalahan yang berasingan dan bebas serta tidak ada kaitan sama sekali dengan pertuduhan terhadap perayu ketika perbicaraan," katanya.

Sithambaram berkata, permohonan dibuat Najib adalah semata-mata berdasarkan kepada laporan media dan ia adalah percubaan untuk membicarakan semula kes dan jika dibenarkan boleh menyebabkan saksi baharu akan dipanggil.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berkata bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam permohonannya yang didengar Mahkamah Rayuan.

Katanya, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sudah menghakimi pasukan pembelaan kerana mereka memohon penangguhan berikutan salah seorang peguam dijangkiti wabak COVID-19 sehari sebelum mereka dijadualkan mengemukakan hujahan.

Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan selama 10 hari kerana menjalani kuarantin, tetapi ditolak oleh mahkamah dan terpaksa mengikuti prosiding secara hibrid.

Beliau berkata, pembelaan tidak diberikan tempoh masa yang munasabah untuk membuat persediaan dan apa yang berlaku pada 7 Disember 2021 adalah satu prapenghakiman.

Katanya, pendengaran itu bermula dengan cara yang salah kerana Najib diancam jaminannya dibatalkan kerana tidak hadir di mahkamah.

Prosiding itu bagaimanapun diteruskan melalui prosiding hibrid di mana hakim dan pasukan pendakwaan hadir di mahkamah terbuka, manakala pasukan pembelaan serta Najib mengambil bahagian melalui persidangan dalam talian.

"Ini bukan situasi di mana beliau (Najib) mahu ia berlaku. Apabila seorang didapati positif, yang lain adalah kontak rapat. Mengikut SOP (mahkamah ketika itu), kami tidak boleh masuk ke dalam kompleks mahkamah, tetapi kami dipersoalkan mengenainya. Demi kepentingan keadilan, mahkamah sepatutnya lebih bersimpati," katanya.

Pendengaran di hadapan panel lima hakim bersambung esok.

Berita Harian X