Selasa, 15 March 2022 | 4:37pm
Kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 65 tahun dalam keadaan berbahaya. Lelaki berkenaan menumbuk anggota polis trafik ketika ditahan untuk pemeriksaan. Foto polis
Kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 65 tahun dalam keadaan berbahaya. Lelaki berkenaan menumbuk anggota polis trafik ketika ditahan untuk pemeriksaan. Foto polis

Warga emas tumbuk polis trafik

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas bukan sahaja memandu secara berbahaya tetapi turut bertindak biadap apabila menumbuk anggota polis yang bertugas ketika pemeriksaan di tepi jalan di Kampung Rahmat, Chalok, Bandar Permaisuri, Setiu semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 65 tahun yang bertindak agresif itu dapat ditahan di sebuah rumah di kampung sama kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu Superintendan Ismail Man, berkata suspek sebelum itu dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Kilometer (KM) 47 hingga KM57 di Jalan Kuala Terengganu- Kota Bharu, Setiu.

Anggota yang ketika itu melakukan pemantauan terserempak dengan suspek sebelum mengekori kenderaan jenis Perodua Axia.

"Sepanjang perjalanan itu, suspek dikesan memotong di garisan berkembar, memotong garisan panjang dan melangar isyarat. Turut berada di dalam kenderaan berkenaan adalah anak, menantu serta dua cucunya dan soal siasat mendapati ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Tepoh, Kuala Nerus untuk pulang ke rumah di Kampung Rahmat, Setiu.

"Ketika pemeriksaan, suspek bertindak agresif dengan menumbuk kepala anggota yang bertugas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Sekyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Sekyen 353 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X