Selasa, 15 March 2022 | 12:07pm

Rangka kerja perundangan komprehensif dirumus kawal selia BNPL

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menerajui usaha sama dengan beberapa pihak bagi merumus rangka kerja perundangan komprehensif kawal selia semua aktiviti kredit pengguna, termasuk skim 'Buy Now Pay Later' atau 'Beli Sekarang Bayar Kemudian' (BNPL).

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, menjelaskan ia berikutan aktiviti BNPL ketika ini tidak tertakluk bawah bidang kuasa mana-mana ejen pengawalseliaan.

Beliau berkata, usaha sama itu turut membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan agensi berkaitan.

Katanya, rangka kerja berkenaan akan dilakukan melalui Akta Kredit Pengguna (CCA), tahun ini, selain kerajaan menjangka lebih banyak inovasi baharu akan diperkenalkan sejajar pemesatan digital.

Beliau sekali gus meminta orang ramai membuat keputusan bijak dalam melakukan pembelian membabitkan skim BNPL.

"Melalui penggubalan CCA, semua pemberi kredit termasuk BNPL, akan tertakluk kepada peraturan sewajarnya.

"Peraturan ini juga termasuk pengawalan risiko dan perlindungan pengguna, serta merangkumi peraturan pematuhan syariah bersesuaian dalam menjalankan aktiviti BNPL," katanya.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai kaedah pembelian BNPL di platform perdagangan dalam talian, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, Yamani Hafez berkata, orang ramai dinasihatkan untuk melaksanakan tiga perkara penting, iaitu memahami terma dan syarat BNPL; memastikan bayaran ansuran dibuat secara penuh dan tepat pada masa; serta sentiasa memantau komitmen BNPL yang dibuat supaya hutang peribadi kekal diuruskan.

(Gambar fail) Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa. - Foto BERNAMA
(Gambar fail) Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa. - Foto BERNAMA
Berita Harian X