Isnin, 14 March 2022 | 6:13pm

Aura wira raja sehari

ALOR SETAR: Sesi bergambar sejurus bergelar pengantin berubah menjadi detik mendebarkan bagi seorang lelaki yang pantas menyelamatkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) daripada lemas.

Tindakan pantas Mohd Anuar Ahmad, 33, menarik badan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun daripada tenggelam di Sungai Anak Bukit di sini, dalam kejadian jam 6.45 petang Jumaat lalu, membuatkan dirinya digelar wira oleh orang ramai.

Secara kebetulan, tindakannya itu sempat dirakam jurugambar sebuah syarikat yang sebelumnya diupah bagi sesi fotografi Mohd Anuar bersama isterinya.

Video berdurasi 29 saat itu mula tular di laman sosial hari ini dan menjadi pujian netizen.

Sebelum kejadian, Mohd Anuar sedang merakam gambar kenangan hari perkahwinan bersama isteri, Norhaslinda Mahmud, 38, yang dikendalikan jurugambar profesional.

Mohd Anuar berkata, tidak lama kemudian, mereka terdengar suara wanita dipercayai ibu kanak-kanak terbabit menjerit meminta tolong selepas seorang daripada tiga anaknya terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

"Sungai Anak Bukit ini dalam dan luas. Saya terus tanggalkan jam dan tengkolok sebelum terjun ke dalam sungai.

"Mujur saya tahu berenang dan terus menarik kanak-kanak itu walaupun dia tenggelam timbul beberapa kali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanya menjalankan kerja kampung, Mohd Anuar yang menetap di Kampung Kota Rentang, Gunung Keriang, bersyukur kerana dapat menyelamatkan kanak-kanak itu walaupun segalanya berlaku terlalu pantas.

Sementara itu, Norhaslinda bersyukur suaminya dan kanak-kanak itu selamat.

"Saya dengar ibu kanak-kanak itu menjerit yang anaknya OKU dan tidak tahu berenang, menyebabkan orang ramai yang berada di situ panik kerana masing-masing tidak tahu berenang.

"Tidak lama kemudian saya nampak suami terjun ke sungai dengan berpakaian pengantin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata tiada laporan dibuat berhubung kejadian kerana kanak-kanak lelaki itu dapat diselamatkan.

Mohd Anuar dan isterinya, Norhaslinda merakam kenangan hari perkahwinan sebelum mendengar jeritan kanak-kanak hampir lemas di Sungai Anak Bukit. - Foto IHSAN MADIE CARTHAMUS PHOTOGRAPHY
Mohd Anuar dan isterinya, Norhaslinda merakam kenangan hari perkahwinan sebelum mendengar jeritan kanak-kanak hampir lemas di Sungai Anak Bukit. - Foto IHSAN MADIE CARTHAMUS PHOTOGRAPHY
Berita Harian X