Isnin, 14 March 2022 | 6:12pm
Kadar kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sudah mencapai 10 peratus membabitkan kerja pengambilan tanah dan reka bentuk infrastruktur yang sudah dimuktamadkan.
Kadar kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sudah mencapai 10 peratus membabitkan kerja pengambilan tanah dan reka bentuk infrastruktur yang sudah dimuktamadkan.

Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura capai 10 peratus

KUALA LUMPUR: Kadar kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sudah mencapai 10 peratus membabitkan kerja pengambilan tanah dan reka bentuk infrastruktur yang sudah dimuktamadkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ketika ini kerja tanah, pengalihan utiliti dan cerucuk bagi projek berkenaan sedang dilaksanakan.

"Bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kementerian diberi tanggungjawab memulakan perbincangan bersama Kerajaan Singapura mengikut terma baharu dan perbincangan masih di peringkat awal dengan perbincangan awal dijangka pada suku tahun kedua.

"Selaras hasil lawatan Perdana Menteri ke Thailand pada 25 Februari lalu, kementerian juga sedang meneroka kemungkinan mengadakan kajian kebolehlaksanaan HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok," katanya menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-JB, Ka Siong berkata, kemajuan fizikal ketika ini adalah 82.5 peratus berbanding jadual sebanyak 85.2 peratus dengan kelewatan itu akibat pandemik COVID-19.

Bagi projek Electric Train Service (ETS) jajaran Gemas-Johor Bahru, kementerian dalam proses memuktamadkan Final Design Review, dijangka selesai akhir Mac ini dan perolehan set ETS dijangka selesai pada September 2024.

Mengulas cadangan mengembalikan stesen Projek Rel Pantai Timur (ECRL), Ka Siong berkata, semakan semula jajaran Seksyen A, iaitu Kota Bharu-Dungun sudah diluluskan kerajaan dengan jumlah dan lokasi stesen di Kelantan sudahpun dimuktamadkan.

Semakan semula jajaran Seksyen A projek ECCRL, iaitu Kota Bharu-Dungun sudah diluluskan kerajaan dengan jumlah dan lokasi stesen di Kelantan sudahpun dimuktamadkan. - Foto fail NSTP
Semakan semula jajaran Seksyen A projek ECCRL, iaitu Kota Bharu-Dungun sudah diluluskan kerajaan dengan jumlah dan lokasi stesen di Kelantan sudahpun dimuktamadkan. - Foto fail NSTP

"Pemilihan stesen ditentukan pelbagai faktor seperti kos pembinaan, populasi, ketersambungan dengan mod pengangkutan lain, fungsi stesen (sama ada untuk kargo atau penumpang) dan sebagainya.

"Oleh kerana projek ini turut melibatkan pembiayaan antarabangsa, maka projek ECRL perlu dilaksanakan berdasarkan kelulusan ini.

"Kementerian komited memastikan kesalinghubungan rel di negara ini dan akan menumpukan kepada perkara ini selepas projek ECRL disiapkan. Pelaksanaannya kelak tertakluk kepada keupayaan kewangan negara pada masa tersebut," katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, pihaknya sedang mengkaji dengan lebih terperinci mengenai isu lori kontena yang menyeberangi sempadan untuk ke depoh simpanan menggunakan laluan pintas dan mengancam keselamatan penduduk setempat.

Ia akan mempertimbang sama ada terdapat kesesuaian permohonan itu atau terdapat kaedah lain boleh dilaksanakan memandangkan ia akan membabitkan tindakan timbal balik daripada pihak Thailand, kesan kepada syarikat tempatan dan aspek keselamatan orang ramai.

Peraturan semasa sejak 1994 hanya membenarkan kemasukan lori ini untuk jarak dua kilometer (km) sahaja ke negara ini tanpa memerlukan insurans kenderaan motor Malaysia.

Namun, perkembangan pembangunan kawasan sekitar menyaksikan terdapat depoh kontena termasuk di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam ini terletak melebihi jarak asal yang dibenarkan.

Masalah besar akan timbul jika tindak-tanduk pemandu lori Thailand yang memasuki kawasan perumahan, mengakibatkan kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

"Sebarang langkah penyelesaian atau kaedah penambahbaikan akan dibuat secara holistik dan seimbang demi kepentingan semua pihak kelak," katanya.

Berita Harian X