Isnin, 14 March 2022 | 6:02pm
Usaha pencarian esok akan menggunakan alat pengesan logam bagi tentukan kedudukan jengkaut yang dipercayai tertimbus bersama mangsa. - Foto BERNAMA
Usaha pencarian esok akan menggunakan alat pengesan logam bagi tentukan kedudukan jengkaut yang dipercayai tertimbus bersama mangsa. - Foto BERNAMA

Peluang temui mangsa hidup tipis

IPOH: Selepas seminggu, peluang menemui mangsa hidup dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini dilihat semakin tipis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Shahrizal Aris, berkata tanggapan itu dibuat berdasarkan kepada logik akal kerana hingga keadaan mangsa masih tidak dapat ditentusahkan sama ada masih hidup atau sebaliknya.

"Susah hendak cakap namun kalau ikutkan logik memang susah kita hendak katakan mangsa masih hidup, tipis harapan itu," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Shahrizal berkata, operasi esok dijangka menggunakan alat mengesan logam bagi mengenalpasti lokasi sebenar bangkai jengkaut yang dipercayai tertimbus bersama mangsa.

"Ia disebabkan banyak batu di kawasan runtuhan itu bersaiz besar. Selain dari itu, tiada cara melainkan perlu pindahkan dan angkat sebahagian besar batuan yang runtuh maka baru boleh nampak (jentera)," katanya.

Katanya lagi, pihaknya menolak kemungkinan runtuhan susulan sepanjang operasi SAR adalah disebabkan kerja meletupkan batuan yang menghalang laluan jentera untuk naik ke lokasi batuan besar yang runtuh.

Pagi tadi, jurucakap JBPM Perak menerusi kenyataan berkata, kerja pengalihan batu bagi laluan ke lokasi mangsa dipercayai berada dilakukan oleh syarikat kuari terbabit menggunakan tiga jentera jengkaut.

Katanya, setiap satu dari jengkaut terbabit mempunyai peranan tersendiri iaitu bagi pengalihan batuan, kerja-kerja pemecahan bongkah batu besar, serta bagi proses 'driller' (penggerudian).

Berita Harian X