LUMUT: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MIC yang berhasrat mengemukakan petisyen susulan kekalahan tipis calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata, BN sudah dimaklumkan mengenai hasrat berkenaan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
"Presiden (MIC) sudah bincang dengan saya supaya BN melihat semula keputusan DUN itu yang menyaksikan kemenangan nipis di pihak sebelah sana. Mungkin di situ ada kewajaran akan dikemukakan oleh BN nanti.
"Saya akan berbincang lanjut dengan beliau," katanya selepas menghadiri Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung, di sini, hari ini.
Zambry berkata, setakat ini hanya parti itu saja yang berhasrat untuk mengemukakan petisyen pilihan raya berhubung keputusan PRN berkenaan.
Semalam media melaporkan, MIC berhasrat mengemukakan petisyen pilihan raya susulan kekalahan tipis calon parti itu yang mewakili BN bagi kerusi DUN Bukit Batu pada PRN Johor.
S Suppayah, calon BN daripada MIC tewas dengan majoriti 137 undi, berbanding undi rosak yang difahamkan lebih 600.
Pada PRN Johor, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern, memenangi kerusi berkenaan dengan 9,439 undi menewaskan calon MIC, S Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.