Isnin, 14 March 2022 | 12:11pm
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

Perbincangan dengan pimpinan parti tentukan keputusan bubar Parlimen - Perdana Menteri

BERA: Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu dibincangkan secara serius melalui saluran parti, selain mengambil kira pandangan pelbagai pihak, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menegaskan, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin, semata-mata juga bukan faktor penentu untuk mewajarkan PRU-15 diadakan segera.

"Keputusan mengadakan PRU akan dibuat selepas melihat pelbagai faktor, termasuklah persediaan parti serta perbincangan dengan pimpinan parti. Sebab itu, saya katakan setiap keputusan kita akan bincang dalam parti. Tidak boleh (hanya kerana) ada satu kumpulan kecil hendak PRU (lalu) kita buat PRU.

"Kita tunggu masa sesuai (dan) parti sudah boleh berbincang dan apabila kita rasa sudah bersedia, maka bolehlah diadakan PRU-15," katanya selepas Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di sini semalam.

Kelmarin dalam PRN Johor, BN memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Perikanan Nasional (PN) mendapat tiga kerusi, DAP (10 kerusi), manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR masingmasing satu kerusi.

Susulan kemenangan besar itu, laungan 'bubar parlimen' dalam kalangan penyokong BN bergema di depan Ismail Sabri ketika berada di bangunan UMNO Johor malam kelmarin.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, menjelaskan keputusan membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU-15 bukan perkara mudah kerana ia membabitkan banyak pihak termasuk Istana Negara.

"Ini (bubar Parlimen untuk adakan PRU-15) satu perkara yang susah. Jadi parti akan bincang serta buat keputusan dan selepas itu mungkin beberapa perkara lain perlu dibuat.

"Ia ada prosedurnya. Bukan setakat kita sahaja tetapi dari segi prosedurnya, saya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi nasihat dan kalau diperkenan baru boleh diadakan pilihan raya," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri yakin keputusan PRN Johor yang menyaksikan BN menang besar itu, tidak akan menjejaskan hubungan di antara anggota Kabinet Persekutuan yang mewakili parti berbeza.

Beliau optimis, semua anggota Kabinet bertindak profesional dan dapat membuat keputusan baik demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat kerana selama ini segala perbincangan berkaitan dasar negara diputuskan mereka secara konsensus.

"Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara. Kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti.

"Waktu PRN Melaka pun kami bertembung dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan yang aspek kesihatan awam perlu diberi keutamaan dan dipastikan dalam keadaan stabil sebelum sebarang keputusan mengadakan PRU-15 dibuat.

Katanya, berkata walaupun negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik, ia tidak bermaksud pandemik COVID-19 sudah berakhir.

Katanya, negara masih lagi perlu berhati-hati kerana sempadan akan dibuka, saf solat berjemaah di masjid dan surau boleh dirapatkan serta had maksimum kapasiti dimansuhkan, tetapi ia tidak bermaksud boleh berbuat apa sahaja.

"Apabila diadakan PRU, ia aktiviti membabitkan orang ramai dan kita baru saja selesai (PRN) Johor, saya lebih suka kita tunggu sehingga keadaan kesihatan awam kita stabil, barulah kita boleh melihat kepada pilihan raya umum.

"Di Johor kita, tiada pilihan sebabnya (kerajaan negeri) sudah tak ada majoriti, sangat rapuh. Saya lihat Kerajaan Persekutuan ada perjanjian (memorandum persefahaman dengan pembangkang) sehingga Julai, jadi tiada apa-apa keperluan mendesak, kerajaan stabil dan tidak akan tumbang, undang-undang dapat diluluskan di Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di Senawang, di sini, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata keputusan sama ada PRU-15 wajar diadakan dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, akan diputuskan melalui mesyuarat MKT UMNO tidak lama lagi.

Katanya, keputusan mengenainya akan dibuat sebelum hasilnya diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

"Kita ada ramai komander politik seperti Presiden, Timbalan Presiden, termasuk Perdana Menteri sendiri dan biarlah perbincangan dilakukan mengikut lunas dan forum sewajarnya bagi membuat keputusan bila tarikh sesuai adakan PRU-15.

"Saya percaya pelbagai perkara akan diperhalusi, termasuk kepentingan negara dan rakyat sebelum keputusan mengadakan PRU-15 dibuat," katanya ditemui pada Program Back To School di Dewan Majlis Daerah Jelebu (MDJ) semalam.

Berita Harian X