Ahad, 13 March 2022 | 10:27pm
Haslina Abdul Hamid (tengah) bersama sebahagian anggota LPP yang menyertai program kecemerlangan di Nilai. NSTP/Mohd Amin Jalil
Haslina Abdul Hamid (tengah) bersama sebahagian anggota LPP yang menyertai program kecemerlangan di Nilai. NSTP/Mohd Amin Jalil

Konflik Russia-Ukraine: MAFI cari input pertanian dari negara pengeluar lain

NILAI: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) giat mendapatkan sumber bahan mentah termasuk input pertanian dari negara pengeluar lain, berikutan konflik berterusan antara Russia dan Ukraine.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata bagi memastikan bekalan bahan mentah dan input pertanian mencukupi dan tidak memberi kesan serius kepada pengguna.

"Tidak dinafikan ada kemungkinan peperangan itu akan beri kesan kepada bekalan bahan dan input pertanian kerana kita mengimport produk dari negara berkenaan, namun sebagai langkah awal, usaha sedang dibuat untuk mencari sumber itu dari negara lain.

"Kita sedang melihat kepada sumber negara yang menjadi pembekal utama selain Russia dan Ukraine.

"Namun setakat ini ia tidak beri kesan serius, tambahan pula sebelum peperangan itu berlaku, kita sudah bawa masuk sebahagian besar bahan mentah dan input pertanian. Jadi, setakat ini tidak timbul masalah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, merasmikan Majlis Penutup Program Kecemerlangan dan Kecergasan anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, petang tadi.

Haslina berkata, antara bahan mentah dan barangan yang dimaksudkan itu ialah gandum, minyak masak global, jagung, baja dan dedak.

"Kementerian terus memantau dan mengambil langkah proaktif dalam memastikan kepentingan pengguna dan rakyat terpelihara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pemberian subsidi oleh kerajaan kepada penternak ayam bagi menangani isu kenaikan harga bahan makanan itu di pasaran diterima baik persatuan penternak.

Katanya, pemberian subsidi berkenaan berupaya membantu golongan penternak terbabit yang terkesan akibat kenaikan harga dedak dan anak ayam.

"Kita sedang giat menguruskan pemberian subsidi ini dengan kerjasama persatuan penternak," katanya.

Kabinet sebelum ini dilaporkan bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Menerusi skim itu, penternak menerima subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, dan lima sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Difahamkan, subsidi selama empat bulan hingga 4 Jun depan, dijangka membabitkan peruntukan RM528.52 juta.

Sementara itu, seramai 750 peserta dari kalangan anggota LPP menyertai program berkenaan yang bertujuan memantapkan budaya kerja berpasukan, memupuk nilai murni dan jati diri, sekali gus menaikkan imej LPP.

Berita Harian X