SEREMBAN: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang menetapkan satu bulan sebagai Bulan Pemeriksaan Kesihatan Malaysia (BPKM) dengan cadangan awal, ia diadakan pada Julai depan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ia lanjutan daripada program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dikhususkan kementerian kepada golongan B40 dan sedang berjalan.
Katanya, setakat ini program berkenaan telah menyaring 561,000 individu di seluruh negara, namun mereka yang layak mendapat saringan itu sebenarnya hampir lima juta orang.
"Kita melihat ramai yang tidak dapat memanfaatkan program ini yang disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan. Mereka boleh daftar di Protect Health Malaysia di bawah KKM.
"Saya risau ramai yang tak buat (pemeriksaan saringan kesihatan). Oleh itu, kita merancang untuk menetapkan satu bulan tahun ini dikhususkan untuk melaksanakan program ini. Kita akan gerakkan, bukan sahaja aset KKM, tetapi juga pengamal perubatan di bawah Peka B40 untuk turun ke lapangan, di kampung atau di pedalaman buat saringan kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di Senawang, di sini, hari ini.
Khairy berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh sebenar dan sasaran ditetapkan dalam BPKM yang dilihat sebagai usaha penting kerana sepanjang dua tahun ini, KKM tidak dapat menganjurkan banyak aktiviti kesihatan berikutan kekangan pandemik COVID-19.
"Sekarang kita lihat masa yang sesuai untuk menggerakkan semula program kesihatan bukan COVID-19 untuk dapatkan tahap kesihatan rakyat, sekurang-kurangnya tahu dari segi kandungan gula, tekanan darah dan ujian darah yang dibuat.
"Sekiranya mereka dijangkiti penyakit bukan berjangkit yang lain, kita juga sediakan rawatan di bawah PeKa B40 atau di klinik kesihatan kerajaan seperti biasa," katanya.
Katanya lagi, Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang berjaya, membolehkan KKM meneruskan perkhidmatan kesihatan yang bukan membabitkan COVID-19 dan mengurangkan kes tertangguh walaupun terdapat kes kemasukan ke hospital.
"Pandemik ini jelas menjejaskan perkhidmatan kesihatan bukan COVID-19," katanya.