Ahad, 13 March 2022 | 3:11pm

Gelongsoran tanah baharu, penduduk 15 rumah diarah pindah

Kuala Lumpur: Satu kejadian gelongsoran tanah baharu, berlaku di kawasan tanah runtuh dekat Taman Bukit Permai 2 di Ampang Jaya malam tadi, walaupun tidak membabitkan sebarang kesan serius.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian gelongsoran tanah yang agak besar itu dikesan berlaku kira-kira jam 7 malam tadi.

"Kejadian berlaku di lokasi sama tanah runtuh pada Khamis lalu, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan atau kemusnahan harta benda.

"Bagaimanapun, kejadian terbaharu ini dikhuatiri memberi kesan kepada satu deretan kediaman di Taman Bukit Permai yang terletak di atas bukit dan berada hampir dengan kawasan tanah yang runtuh.

"Ini kerana, kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati kedudukan tanah tidak stabil dan boleh menjejaskan keselamatan penduduk di situ," katanya kepada BH, hari ini.

Keadaan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Keadaan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengadakan rundingan dengan penduduk sebelum memutuskan 15 rumah di situ, diarah dikosongkan dan penduduk berpindah sementara untuk keselamatan mereka.

Tambahnya, ujian kajian kestabilan tanah pada masa ini masih dijalankan oleh pasukan teknikal terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), JMG dan MPAJ.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad, memaklumkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan MPAJ Cheras Baru, malam tadi sebagai langkah awal membantu penduduk di Jalan Permai 1, Taman Bukit Permai yang diarahkan berpindah, malam tadi.

"Bagaimanapun, setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan belum ada penduduk yang mendaftar untuk menginap di PPS yang dibuka itu.

"Mungkin pada peringkat ini mereka memilih untuk menginap di hotel atau menumpang kediaman rakan dan keluarga, namun PPS itu akan terus beroperasi dan menerima kemasukan penduduk," katanya.

Dr Ani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat, berkata sebarang bentuk tindakan lanjut membabitkan insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai dan Taman Bukit Permai 2 itu, akan dibincangkan esok.

"Laporan oleh pasukan teknikal mengenai keselamatan cerun dan kestabilan tanah di lokasi kejadian akan dibentangkan esok oleh agensi teknikal berkaitan," katanya.

Keadaan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Keadaan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Bahagian atas kesan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Bahagian atas kesan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X